Pagi kejadian, emak berlari meminta tolong jiran. Ada sesuatu berlaku pada anak kecilnya. Tolong! Anak kecil tidak sedarkan diri di ruang tamu dengan hanya memakai pampers. Polis tangkap emak kerana dia dikatakan membunuh. Apa terjadi?
Pintu rumah jiran diketuk. Dia mahu dapatkan pertolongan sebab anak perempuan berusia 3 tahun dikatakan pengsan. Dia bagitau jiran anaknya tidak sihat. Perlu dibawa ke klinik. Jiran kemudian bergegas masuk ke dalam rumah. Kelihatan anak kecil itu terbaring tidak sedarkan diri. Jirannya terus dukung anak kecil itu untuk dibawa ke klinik. Kemudian, merasakan keadaan anak kecil itu yang tidak sedarkan diri, jiran kemudian meletak semula anak kecil itu.
Di ruang tamu, jiran berasa tidak sedap hati. Jirannya itu nampak ada kesan kena pukul pada bahagian muka budak kecil itu. Bahagian dada kemudian ditekan berulang kali sehingga keluar air dari mulut dan hidung. Tetapi, dia masih tidak sedarkan diri. Apa yang terjadi sebenarnya?
Jiran tersebut terus bertanya kepada emak budak itu. "Apa dah jadi dengan budak ni?" Maknya hanya diam membisu. Tidak memberikan apa-apa respon. Kemudian, barulah emaknya bersuara. "Budak ni terjatuh dalam bilik air, semasa mandi dengan kakaknya". Kakak budak itu berusia 6 tahun.
Ambulans kemudian dihubungi. 15 hingga 20 minit kemudian, ambulans pun tiba. Pegawai perubatan mengesahkan ketika sampai di rumah, budak kecil itu sudah tidak bernyawa. Pegawai perubatan dapat lihat kesan kecederaan pada muka mangsa. Polis terus dihubungi.
Semasa kejadian, seorang lagi jiran menyedari ada sesuatu berlaku. Dia pun pergi masuk ke dalam rumah. Nak tahu apa yang telah terjadi. Jiran kedua ini pun bertanya pada mak budak tu. Soalan yang sama. "Apa dah jadi ni?"
Emak budak tu menjawab "Dia ni batuk, muntah dan lepas tu terus pengsan". Jiran kedua ini dapat melihat dan dengar semasa emak budak tu ingin bangunkan anaknya, dia sebut "Nak, bangun nak, mak janji mak tak kan pukul lagi". Jadi, ada sesuatu yang sebenarnya terjadi.
Mangsa dalam kes ini sebenarnya anak tiri. Semasa kejdian, ayah mangsa tiada di rumah kerana sudah keluar bekerja awal subuh. Jadi, mangsa tinggal bersama emak tirinya dan adik-beradiknya yang lain. 3 orang semuanya.
Laporan pakar patologi forensik mendapati terdapat 77 kesan kecederaan pada badan mangsa. Ini disebabkan trauma objek tumpul ('blunt force trauma') kerana disyaki dipukul dan ditampar. Pakar forensik menafikan fakta mangsa mati kerana lemas semasa mandi.
Melihat pada bukti keadaan, emak mangsa kemudian didakwa atas kesalahan membunuh. Pada awalnya, ayah mangsa juga didakwa tetapi dakwaan terhadap ayah mangsa ditarik balik pihak pendakwa. Ini kerana ayah mangsa tiada di rumah semasa kejadian.
Mahkamah Tinggi kemudian memutuskan emak mangsa bersalah membunuh mangsa. Daripada 77 kecederaan dialami mangsa, 33 kecederaan ada di bahagian muka. Yang lebih kejam, ada kesan lebam dan koyakan pada 'koch triangle' di bahagian jantung. Ini menyebabkan peluang mangsa untuk hidup amat tipis. Disebabkan itu, Mahkamah Tinggi memutuskan mangsa didera dengan niat untuk membunuh. Emak tiri mangsa dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Kes tidak berakhir di situ. Peguam bela membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya atas sabitan dan hukuman gantung sampai mati yang dikenakan. Peguam bela berhujah bukti sebenarnya tidak cukup untuk mengatakan suspek yang membunuh. Betul ke?
Keputusan kes berubah di Mahkamah Rayuan. Setelah 3 hakim mendengar rayuan peguam bela, 2 hakim memutuskan suspek tidak bersalah. Keputusan majoriti 2-1 memihak kepada suspek. Yang Amat Arif (YAA) Mohtarudin Baki dan YAA Tengku Maimun bersetuju suspek tidak bersalah.
Kecederaan yang dialami oleh mangsa yang disyaki didera dengan teruk berlaku dalam tempoh masa 15 hingga 24 jam sebelum mangsa mati. Ini bermaksud ayah mangsa juga berkemungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Hal ini kerana malam sebelum kejadian, ayah mangsa ada di rumah dan hanya keluar pergi kerja pada pagi kejadian, 2 hingga 3 jam sebelum mangsa mati. Jadi, sabitan dikenakan pada suspek adalah tidak selamat. Ada keraguan siapa sebenarnya yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Tiada bukti konklusif menunjukkan suspek yang membunuh mangsa. Pengakuan suspek semasa hari kejadian 'nak, bangun nak, mak janji tidak akan pukul lagi' tidak mencukupi untuk buktikan suspek membunuh.
Semasa perbicaraan, kakak mangsa berusia 6 tahun yang mandi bersama mangsa pada hari kejadian mengakui adiknya mati kerana lemas. "Adik mati sebab kepala adik diletak dalam besen. Besen ada banyak air".
Jadi ini bermakna, mangsa sebenarnya mati kerana lemas di dalam besen. Bukti air keluar dari hidung dan mulut mangsa ketika dada mangsa ditekan menguatkan lagi fakta mangsa mati kerana lemas, bukan dikira dibunuh. Yang Amat Arif Abdul Rahman Sebli tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut kerana bukti pakar forensik jelas menunjukkan kecederaan dialami mangsa menyumbang kepada kematian. Mangsa bukan mati lemas, tetapi didera dengan teruk.
Disebabkan keputusan adalah berdasarkan majotiti dari 3 panel hakim, Mahkamah Rayuan memutuskan suspek tidak membunuh. Dia terlepas tali gantung.
Apa yang sebenarnya berlaku kepada mangsa dari pukul 5.50 pagi hingga pukul 9 pagi pada hari kejadian terus menjadi misteri. Adakah ayah mangsa terlibat dalam memukul mangsa? Tidak mungkin itu pengakhiran hidup anak kecil yang disayangi ayah kandungnya sendiri.
Penghakiman penuh kes (25 mukasurat) boleh dirujuk dalam kes Dewi Nadia v Public Prosecutor [2015] 5 MLJ 222 - Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Oleh @kamarul14 (Twitter)
0 comments:
Post a Comment