Tuesday, May 5, 2020

KONSPIRASI PEMBUNUH UPAHAN DAN KUMPULAN AJARAN SESAT

Gambar Penjenayah Sebenar

Sebuah kereta berhenti parkir di luar rumah. Mahu minta derma katanya. Yang peliknya nombor plat belakang kereta telah dicabut. Tuan rumah pun keluar setelah ucapan salam diberikan. Tanpa diketahui, pembunuh upahan sebenarnya ada dalam kereta tu. 

Setelah menyedari ada tetamu yang datang, tuan rumah telah keluar dari rumah dan pergi buka pintu pagar. Tetamu itu ditanya sama ada mahu singgah dahulu ke rumah. Tetamu itu terus jawab 'tak pa sekejap sahaja'. Beberapa saat kemudian, seseorang keluar dari kereta yang diparkir. Tanpa disangka, tiga das tembakan dilepaskan ke arah tuan rumah. Tembakan mengenai dada mangsa. Anak mangsa yang melihat kejadian itu dapat melihat kedua-dua lelaki yang berada di luar rumah masuk semula ke dalam kereta dan terus beredar dari situ.

Mangsa yang rebah berlumuran darah telah meninggal dunia. Bedah siasat dijalankan di hospital mendapati terdapat beberapa luka tembakan masuk dan keluar pada tubuh mangsa. Punca kematian disahkan akibat dari kecederaan dan pendarahan di dada hasil tembakan di dada. Kenapa mangsa dibunuh? Siasatan polis mendapati terdapat satu konspirasi telah dirancang untuk membunuh mangsa. Mangsa yang merupakan seorang pegawai agama dikatakan kerap kali mengganggu aktiviti sebuah kumpulan ajaran sesat. Kelibat mangsa amat tidak disenangi.

Hal ini kerana mangsa banyak kali menyebarkan keburukan ajaran sesat tersebut. Ketua ajaran sesat itu kemudian merancang satu konspirasi bagi 'melenyapkan' mangsa dari muka bumi. Kumpulan tersebut mengatakan 'Tuhan arahkan kamu untuk melenyapkan mangsa kerana tidak jalankan tugas dengan adil di sisi Tuhan'. Pelbagai cara pada awalnya dirancang seperti melanggar lari mangsa, menculik mangsa dan meletakkan racun dalam makanan. Tetapi melihatkan lokasi yang tidak sesuai, suspek menegaskan 'perintah Tuhan kalau boleh disegerakan'.

Suspek kemudian diberi 'kebenaran' untuk membunuh mangsa dan arahan 'shot to kill' diberikan supaya mangsa dibunuh. Kelibat mangsa kemudian diintai oleh 3 orang rakan suspek. Ketiga-tiga orang rakan suspek ini memantau pengerakan mangsa di rumahnya di Kuantan. Ketiga-tiga rakan suspek ini menaiki kereta yang berlainan dengan kereta yang berhenti di depan pintu pagar mangsa. Mereka ini hanya memerhati dari jauh mangsa ditembak. Polis berjaya menahan ketiga-tiga rakan suspek ini dan mereka dijadikan saksi penting bagi pihak pendakwaan.

Ketiga-tiga mereka merupakan saksi-saksi yang diberikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009. Kedua-dua suspek yang datang ke rumah mangsa pada hari kejadian ditangkap dan didakwa atas kesalahan membunuh mangsa. Hakim Mahkamah Tinggi menegaskan 'keterangan dari rakan sejenayah tidak semestinya tidak boleh diterima'. Penilaian yang teliti dibuat oleh Mahkamah supaya keterangan mereka tidak prejudiskan tertuduh.

Mahkamah Tinggi telah memutuskan kedua-dua suspek bersalah dan dihukum gantung sampai mati di bawah s 302 KK. Ketua ajaran sesat bersama isteri dan orang kanannya turut didakwa atas kesalahan konspirasi jenayah di bawah s 120B (1) KK, namun telah dilepas dan dibebaskan pada akhir perbicaraan di Mahkamah Tinggi. Hal ini kerana ada keraguan mengenai wujudnya arahan untuk membunuh.

Suspek dikatakan mendapat arahan membunuh dari ketua ajaran sesat tersebut sedangkan suspek dikatakan banyak kali berkomunikasi dengan isteri ketua ajaran sesat itu. Ketua mereka sebenarnya berada dalam keadaan uzur dan ini memungkinkan wujud kesukaran untuk berkomunikasi. Disebabkan adanya percanggahan siapakah yang memberi arahan supaya membunuh mangsa, kesalahan konspirasi jenayah tidak dapat dibuktikan.

Pada April 2018, panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Zawawi Salleh, Kamardin Hashim dan Rhodzariah Bujang memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh. Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan. Suspek cuba menafikan penglibatan dengan mengatakan mereka tiada di tempat kejadian semasa pembunuhan berlaku. Tetapi hujahan suspek hanyalah penafian dan rekaan semata-mata. Anak mangsa dengan jelas nampak kelibat dua orang suspek ketika tembakan berlaku.

Suspek juga cuba menafikan mereka mempunyai niat bersama untuk melakukan pembunuhan. Tetapi, hujahan suspek ditolak hakim. Perancangan sudah diatur rapi oleh suspek untuk membunuh mangsa. Keterangan daripada rakan suspek dan perbualan telefon dijadikan bukti penglibatan. 

Pada November 2018, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, YAA Richard Malanjum telah memutuskan suspek bersalah membunuh mangsa. Tuduhan berlakunya konspirasi jenayah digugurkan disebabkan ketua jaran sesat telah meninggal dunia. Kedua-dua suspek kekal bersalah dan hukuman gantung sampai mati dikekalkan. Dalam kes ini, sebenarnya ada tiga orang suspek yang berada dalam kereta yang berhenti di depan rumah mangsa. Suspek yang memberi salam semasa tiba di di depan pintu pagar dipercayai masih bebas.

Kejadian menyayat hati ini berlaku pada November 2013 di kawasan perumahan di Indera Mahkota 2, Kuantan Pahang. Sehari sebelum kejadian, kerana curiga kereta suspek parkir di sebelah rumah, jiran mangsa sempat mengetuk cermin kereta suspek. Suspek ditanya 'tengah tunggu siapa?'. Suspek menjawab 'nak tunggu kawan'. Ketika inilah, muka suspek termasuklah pembunuh upahan dapat dilihat jelas.

Ketika sesi kawad cam tidak sampai sebulan selepas kejadian, saksi dapat mengecam wajah suspek dengan cepat. Peguam bela berhujah,sepatutnya suspek tidak dapat dicam dengan sebegitu pantas kerana dikatakan memakai topi sudu ketika menembak mangsa. Hujahan tersebut ditolak hakim. 

Penghakiman penuh kes boleh dirujuk dalam kes Shamsinar Abdul Halim v Pendakwa Raya dan satu lagi rayuan [2018] 4 MLJ 734 - Mahkamah Rayuan Putrajaya.


Sumber : @kamarul14  (twitter)

"KALAU YOU MASUK, SAYA AKAN BUNUH INI ORANG!"


Pada hampir jam 7 pagi pada 23 Februari 2005, suasana tenang di sebuah hotel di ibu negara kemudian bertukar kecoh. Seorang tetamu hotel ternampak tompokan air merah pekat di atas lantai di luar bilik hotel. Tetamu hotel tersebut berasa tidak sedap hati. 

Hal ini kerana tompokan merah itu adalah darah manusia. Pintu bilik kemudian diketuk dari luar. Mungkin ada sesuatu yang berlaku di dalam bilik tersebut. Kerana ingin tahu kenapa ada tompokan darah, pintu bilik tersebut cuba dibuka namun gagal. Kemudian, ada suara kedengaran dari dalam bilik. Penghuni bilik itu arahkan tetamu di luar bilik supaya beredar dan jangan ganggu dia. Curiga ada sesuatu yang buruk berlaku, kejadian ini terus dimaklumkan kepada pengurus hotel. Dengan pantas, pengurus hotel tiba.

Beliau kemudian menjerit dan arahkan penghuni bilik no 3022 tersebut supaya membuka pintu bilik. Penghuni bilik itu menjawab dari dalam bilik 'jika kamu buka pintu, ada seseorang akan pukul saya'. 'Lebih baik kamu panggil polis'. Dengan segera, polis dipanggil. 

Ketika polis tiba, polis arahkan penghuni bilik tersebut membuka pintu sebelum pintu bilik dirempuh masuk. Polis kemudian terdengar 'kalau you masuk, saya akan bunuh ini orang, lu balik, jangan kacau saya'. Polis kemudian bertindak pecahkan pintu bilik tersebut. Pintu tersebut tidak dapat dibuka sepenuhnya kerana dihadang dengan katil dan rak tv. Melalui celahan pintu bilik yang terbuka, polis dapat melihat keadaan bilik yang agak bersepah. Yang lebih mengejutkan ialah kelihatan seorang lelaki berbogel.

Lelaki tersebut sedang memegang 'VCD player' di sebelah tangannya. Sebelah lagi memegang rambut seorang perempuan (mangsa). Tangan dan kaki mangsa tersebut telah diikat. Mangsa kemudian diheret ke dalam tandas. Polis ketika ini masih tidak dapat masuk ke dalam bilik. Suspek yang mengheret mangsa ke tandas kemudian berdiri di atas mangkuk jamban. Sambil memegang botol kaca yang pecah, suspek menjerit 'saya bunuh dia orang, saya bunuh dia orang'. Polis kemudian terus merempuh masuk dan menangkap suspek.

Pakar patologi mengesahkan mangsa mati disebabkan kecederaan teruk di muka dan leher mangsa. Ahli kimia mengesahkan darah suspek mengandungi amphetamine dan methamphetamine dan memaklumkan 'seseorang di bawah pengaruh dadah jenis psycostimulant boleh pngaruhi fikiran kita'. Suspek kemudian didakwa di Mahkamah Tinggi KL atas tuduhan membunuh mangsa. Hakim Mahkamah Tinggi menolak kesemua hujahan peguam bela suspek. Walaupun suspek positif dadah, suspek tidak berada dalam keadaan mabuk dan masih sedar dengan apa yang telah dilakukannya.

Hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada suspek di bawah s 302 KK. Suspek bersalah membunuh mangsa. Keputusan hakim mahkamah tinggi ini kemudian disahkan oleh panel hakim Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan juga memutuskan suspek bersalah kerana membunuh mangsa. Kes ini kemudian naik ke mahkamah paling tinggi, Mahkamah Persekutuan. Peguam bela suspek membuat rayuan di hadapan panel hakim tertinggi negara. Kes didengar 5 hakim diketuai Ketua Hakim Malaya ketika itu, Zulkefli CJ. Panel hakim juga terdiri daripada YAA Richard Malanjum, Hashim Yusoff, Abdul Hamid Embong dan Sulong Matjeraie. Peguam bela berhujah suspek sebenarnya tidak berniat membunuh mangsa dan tidak patut dihukum gantung sampai mati.

Dalam hujahan tersebut, 'the injuries inflicted on the deceased were not sufficient in the ordinary course of nature to cause death'. Ini kerana laporan pakar patologi mengesahkan kecederaan teruk di bahagian muka dan leher mangsa adalah kerana suspek berulang kali memukulnya. Secara semula jadinya, kecederaan tersebut tidak akan boleh membawa maut. Dengan itu, suspek seharusnya didakwa di bawah s 299 KK (menyebabkan kematian bukan kerana membunuh) dan bukannya di bawah s 300 KK (membunuh).

Sekiranya didakwa di bawah S 299, suspek didapati bersalah kerana 'with the knowledge that he is likely by such act to cause death'. Perbuatan suspek kemungkinan berlakunya kematian kepada mangsa adalah rendah. Ianya bukan dianggap membunuh mangsa dengan niat (Raja Azlan Shah J). 

Panel hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa 'no evidence led by the pathologist as to whether the injuries inflicted on the deceased were sufficient in the ordinary course of nature to cause death. Kecederaan pada muka dan leher mangsa tidak dianggap boleh membawa maut secara semulajadi kepada mangsa. Jadi, suspek tidak boleh didakwa atas kesalahan membunuh mangsa di bawah s300 KK dan tidak patut digantung sampai mati.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan suspek bersalah di bawah S299 KK dan dihukum di bawah s304(a) KK yang membawa hukuman penjara 20 tahun. Suspek terlepas hukuman gantung sampai mati. Hakim menambah, kecederaan teruk yang dialami mangsa tidak boleh sebulat-bulatnya dijadikan asas untuk buktikan adanya niat untuk membunuh. Mangsa merupakan kekasih suspek dikatakan mempunyai hubungan dengan orang lain. Peguam bela suspek berhujah, tindakan suspek membunuh mangsa adalah disebabkan provokasi dari mangsa yang menyebabkan hubungan cinta mereka musnah. Tetapi, hakim Mahkamah Tinggi menolak hujahan ini.

Penghakiman penuh boleh dirujuk dalam kes Cheong Kam Kuen v Public Prosecutor [2013] 1 MLJ 15 (Mahkamah Persekutuan, Putrajaya).

Sumber : @kamarul14 (twitter)

PELAJAR TINGKATAN 4 MATI SELEPAS DISEPAK DI DADA

Gambar Hiasan

Mereka diarahkan membentuk satu piramid manusia. Seorang daripada mereka akan panjat piramid dan perlu sentuh siling. Malangnya, piramid itu tidak stabil. Semua jatuh ke lantai. Mereka didenda. Kemudian, mangsa tiba-tiba mengadu sesak nafas.

Mangsa, pelajar tingkatan 4 ketika itu, telah diarahkan bersama rakan-rakannya untuk membina satu piramid manusia. Dan kawan mangsa yang paling atas kemudian akan menyentuh siling bilik. Mereka semua bersetuju. Tiada masalah untuk mereka bekerjasama melakukannya. Tetapi, piramid manusia yang dibina tidak dapat bertahan. Akibatnya, ramai daripada mereka jatuh bertindih antara satu sama lain. Senior yang berada di tempat kejadian tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

Ketika dalam keadaan kelam kabut itu, kedengaran seseorang telah mencarut. Tidak dapat dipastikan siapa yang berkata sedemikian. Rakan-rakan mangsa mengatakan senior mereka yang berada di situ yang berbuat sedemikian. Pegawai pula menyangka salah seorang rakan mangsa yang sebenarnya mencarut. Akibatnya, mereka semua ditanya dan dipaksa mengaku. Tiada seorang pun yang mengaku menyebut perkataan lucah tersebut. Akibatnya, mereka semua didenda oleh senior.

Mereka termasuklah mangsa telah diarahkan untuk berada dalam 'hemmerlight position'. Hemmerlight position bermaksud badan angkat, tangan di lantai, kaki di lantai atau 'a push up position but with arms and legs straight and together'. Kemudian, mereka semua disepak pada bahagian dada. Semasa giliran mangsa didenda, selepas mangsa ditendang, mangsa sempat bangun dan sempat bergerak beberapa langkah. Tetapi kemudian, mangsa rebah. Mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri.

Pakar forensik kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan sakit jantung yang acute disebabkan oleh anomaly pada salur darah coronary dan bersama-sama dengannya terdapat kecederaan tumpul pada dada ('acute myodical infarction due to coronary artery anomaly associated with the blunt trauma to the chest'). Disebabkan itu, suspek yang bertanggungjawab menendang mangsa ditahan dan didakwa di mahkamah atas kesalahan 'culpable homicide not amounting to murder' di bawah seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Kes didengar di depan majisret. Majistret kemudian memutuskan suspek dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri. Ini bermaksud pihak pendakwaan gagal membuktikan adanya kes prima facie terhadap suspek. Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara kemudian membuat rayuan atas keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pendakwa berhujah suspek perlu bertanggungjawab atas kesalahan tersebut kerana tindakan suspek menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Hujahan pendakwa raya ditolak hakim. Pendakwa gagal membuktikan niat dan status pengetahuan suspek bahawa tendangannya boleh menyebabkan kematian pada si mati.  Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam bela yang mengatakan sekiranya tindakan suspek itu boleh menyebabkan kematian, suspek tidak akan mendenda mangsa sedemikian. 

Di dalam kes ini, mahkamah menerima bukti yang mengatakan mangsa ditendang oleh suspek. Tetapi, bukti perubatan mengatakan mangsa mengalami kecederaan pada sebelah kiri bahagian belakang badan. Saksi pula mengatakan suspek menendang mangsa di sebelah kanan belakang badan mangsa. Disebabkan kegagalan pendakwaan membuktikan kes prima facie ke atas suspek, hakim Mahkamah Tinggi KL, YA Amelia Tee pada April 2014 memutuskan bahawa suspek dilepaskan dan dibebaskan dari tuduhan ke atas mangsa.


"SAYA NAK BUAT REPORT, SAYA DAH BUNUH ORANG!"


Seorang lelaki melangkah masuk balai polis di utara tanah air. Gerak gerinya sama seperti orang lain. Tiada yang pelik. Tiada yang mencurigakan. Kemudian dia pun bersuara,"Tuan, saya nak buat report. Saya dah bunuh orang". Semua di situ tergamam. 

Suspek, seorang tukang masak di sebuah restoran tinggal di bilik sewa milik majikannya. Pada satu malam jam 9 ketika sedang bekerja, majikannya nampak suspek tidak tentu arah. Dia kelihatan amat gelisah. Suspek kemudian meminta izin untuk pulang ke bilik sewanya. Suspek dibenarkan pulang. Tetapi, 2 jam lebih kemudian, suspek kembali ke restoran. Reaksi suspek sekali lagi tidak berubah. Bagaikan tidak terurus. Merasakan ada sesuatu tidak kena, majikannya kemudian bertanya pada suspek. 'Apa yang telah berlaku ni?'

Suspek kemudian duduk dan bercerita dengan majikannya. Suspek mengaku yang dia telah bunuh seseorang. Suspek telah membunuh kekasihnya. Beg yang dibawa suspek ketika itu mengandungi barang milik kekasihnya. Suspek pun buka beg dan ambil satu gambar. Suspek pun tunjuk gambar tersebut pada majikannya. Inilah gambar kekasihnya. 'Aku dah bunuh dia'. Suspek kemudian mahu tunjukkan pisau yang digunakan. Majikannya enggan melihat pisau itu dan arahkan suspek untuk menyerah diri pada polis.

Suspek buntu. Dia sayangkan kekasihnya tetapi disebabkan kekasihnya menolak tawaran untuk berkahwin dengannya, suspek pun terkejut. Suspek tidak menyangka cintanya ditolak. Suspek kemudian diajak majikannya untuk ke balai polis. Suspek bersetuju. Dia sendiri merasakan dia tidak sedar apa yang telah dilakukannya. Suspek kemudian masuk ke balai polis dan membuat laporan polis. 'Tuan, saya dah bunuh orang'.

Pengakuan suspek membuat semua yang ada di balai polis tergamam. Pengakuan suspek direkodkan dan anggota polis terus bergerak pergi ke lokasi kejadian. Mereka masuk ke dalam bilik sewa suspek. Suspek kemudian tunjuk pada polis lokasi dia membunuh mangsa. Suspek kemudian ditangkap dan didakwa atas kesalahan membunuh mangsa. Suspek berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan bersalah.

Laporan bedah siasat dari Hospital Sultanah Bahiyah menunjukkan mangsa mati akibat kesan tikaman dan tetakan pada anggota badan mangsa. 'The deceased died due to 26 stab wounds and 4 slash wounds on the body mostly on the thorax area, on chest and at the back'.

Peguam bela suspek berhujah ssupek tidak berniat membunuh mangsa. Suspek mengaku dia tidak sedar apa yang telah berlaku. Dia hanya sedar ketika melihat badan mangsa sudah terlantar di atas lantai. Suspek kemudian dirujuk pada Hospital Tanjung Rambutan untuk pengesahan kesihatan mental. Laporan perubatan menujukkan suspek waras ketika kejadian. Hakim Mahkamah Tinggi kemudian menolak hujahan peguam bela suspek.

Suspek didapati berniat untuk membunuh mangsa. Suspek juga telah mengaku melakukan pembunuhan. Jadi, bukti tersebut digunapakai bagi membuktikan suspek bersalah. 'A confession could be admitted if it was proved to be made voluntarily' (seksyen 24 Akta Keterangan). 

Hakim Mahkamah Tinggi Alor Star pada Ogos 2012 kemudian memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh mangsa dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Hakim menambah, alasan cinta ditolak bukanlah satu bentuk provokasi yang membolehkan suspek bertindak membunuh mangsa. Perlakuan dan tindakan suspek adalah melampaui batas hingga mengorbankan nyawa mangsa.

Penghakiman penuh kes boleh dirujuk dalam PP v Syahril Razali [2014] 6 MLJ 881, Mahkamah Rayuan (Putrajaya).


Sumber : @kamarul14 (twitter)

PELAJAR KOLEJ BUNUH PENSYARAH KERANA DUIT

Gambar Penjenayah Sebenar

Kes ini tercetus angkara kehilangan duit dan barang kemas kepunyaan mangsa dan ibu mangsa. Barang kemas dan duit tersebut sebenarnya telah dicuri oleh suspek. Suspek cuba menafikan dia yang mencuri dengan menyuruh mangsa menjalani rawatan tradisional. Rawatan itu perlu bagi menghalau hantu yang dikatakan ada pada duit yang hilang. Suspek bersama 3 orang rakannya yang lain merupakan pelajar di sebuah kolej di ibu negara dan mangsa dipercayai merupakan pensyarah dan juga kekasih kepada suspek utama.

Ketika rawatan hendak dijalankan, barang kemas emak mangsa dikumpul dan diletakkan dalam satu bekas plastik. Barang kemas tersebut diberikan kepada suspek utama. Rawatan pertama kali yang sepatutnya dibuat di rumah mangsa telah dibatalkan tanpa alasan yang jelas diberikan. 

2 hari kemudian, suspek bersama 3 rakannya berkumpul. Mereka ingin merancang sesuatu. Kali ini bukan rawatan tradisional yang mahu dibuat. Suspek utama yang merupakan kekasih mangsa tahu mangsa akan membuat laporan polis tentang kehilangan wang dan barang kemas. Suspek pun gelabah. Dia mungkin akan dipenjara dan disebat atas kesalahan mencuri. Jadi, dia dan rakannya perlu bertindak pantas. Suspek memberikan sarung tangan dan tali kepada 3 rakannya. Mereka rancang nak bunuh mangsa dan ayah mangsa.

Pada hari kejadian, ibu mangsa tiada di rumah bersama mangsa dan ayahnya kerana telah pulang ke kampung halaman di Johor. Ketika itu, suspek dan 3 rakannya datang ke rumah mangsa. Mangsa ingatkan mereka ingin membuat rawatan seperti dijanjikan. Mangsa sebenarnya diperangkap. Ketika tiba dirumah mangsa, suspek dan seorang kawannya keluar sekejap dari rumah mangsa untuk berjumpa dengan seseorang di tempat lain. Yang tinggal di rumah hanyalah ayah mangsa dan 2 orang rakan suspek.

Ayah mangsa dan 2 rakan suspek sama-sama menonton TV ketika itu. Salah seorang daripadanya bangun dan pergi ke tandas. Dia kembali dengan memakai sarung tangan. Rakan suspek itu terus tarik ayah mangsa dan mengikat tangan dan kaki. Hidung dan mulut ayah mangsa ditutup. Ayah mangsa ditarik ke dalam bilik paling depan. Rakan suspek terus menutup mulut dan hidungnya sehingga tidak lagi bernafas. Setelah ayah mangsa tidak lagi bernafas, mereka semua duduk di ruang tamu. Menunggu mangsa dan suspek sampai.

Semasa mangsa tiba di rumahnya, mangsa ingin berjumpa dengan ayahnya. Tapi, dihalang oleh suspek.  Mangsa dibawa ke bilik belakang dan di situ mangsa pula dikerjakan. Muka mangsa ditutup dengan bantal. Mangsa meronta-ronta. Mangsa kemudian terkulai dan meninggal. Selepas kejadian itu, kesemua suspek melarikan diri ke utara tanah air. Kematian mangsa dan ayahnya dapat dihidu ibu mangsa yang berasa curiga. Dia sudah tidak dapat berhubung dengan anak dan suaminya beberapa hari sebelum kejadian. Firasatnya menjangkakan perkara buruk terjadi.

Laporan polis kemudian dibuat ibu mangsa. Suspek dan 3 rakannya ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh. Mahkamah Tinggi telah suspek dan 2 rakannya bersalah dan digantung sampai mati. Seorang rakan suspek dilepaskan dan dibebaskan. Peguam bela suspek kemudian membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Suspek dikatakan tidak terlibat membunuh ayah mangsa. Suspek tiada di tempat kejadian ketika ayah mangsa dibunuh. Adakah hujahan ini diterima mahkamah?

Panel hakim Mahkamah Rayuan menolak hujahan peguam bela suspek. Peguam bela suspek juga berhujah punca mangsa dan ayahnya meninggal tidak dibuktikan dengan jelas melalui bukti perubatan yang perkara itu mampu menyebabkan mereka mati. Mereka meninggal mungkin kerana lebihan dos paracetamol. Tetapi, hujahan peguam bela ditolak.

Bukti daripada pakar menjelaskan bahawa kedua-dua mangsa mati kerana kekurangan oksigen, jadi punca kematian mangsa dan ayahnya memang telah dibuktikan dengan jelas. Panel hakim Mahkamah Rayuan,  YAA Aziah Ali, Rohana Yusuf dan Ahmadi Haji Hasnawi pada Mac 2017 telah menolak rayuan peguam bela suspek. Kesemua suspek kekal bersalah dan dihukum gantung sampai mati.

Keputusan Mahkamah Rayuan dirayu peguam bela suspek ke Mahkamah Persekutuan. Pada Mac 2018, panel 5 hakim diketuai Ketua Hakim Negara, YAA Tun Md Raus Sharif telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan. Semua suspek bersalah dan dihukum gantung sampai mati.

Penghakiman penuh kes boleh dirujuk dalam Mohamad Zul Shahril v Public Prosecutor [2017] MLJU 274, Mahkamah Rayuan Putrajaya.


Sumber : @kamarul14 (twitter)

BUNUH ORANG GUNA BOM MERCUN BOLA

Gambar Hiasan

Suasana tenang di pagi hari berubah apabila sesuatu yang aneh berlaku. Satu beg berisi dua biji limau bali diletakkan di luar lif sebuah apartmen. Ingatkan hadiah daripada seseorang, tetapi limau bali itu tiba-tiba meletup. Apa yang terjadi? 

Jam 8 pagi, mangsa keluar dari rumahnya di Aparment Desa Tun Razak, Cheras dan menuju ke lif. Sebelum masuk ke dalam lif, mangsa nampak satu beg ditinggalkan di koridor. Mangsa kemudian membuka beg tersebut dan melihat 2 biji limau bali ada di dalam beg. Inginkan kepastian siapa yang memberi limau itu, mangsa kemudian mencari sesuatu di dalam beg itu. Malangnya, limau bali kemudian meletup dengan kuat dan menyebabkan mangsa terbakar. Mangsa meraung kesakitan. Seorang saksi melihat mangsa berada dalam kesakitan akibat terbakar dan letupan itu menyebakan mangsa meninggal dunia.

Siasatan  menunjukkan limau bali tersebut telah diubahsuai menjadi bom. 2 paket bungkusan mercun bola digunakan untuk meletupkan limau bali tersebut. Persoalannya, siapa yang sanggup melakukan tindakan sebegitu hingga mangsa mati? Rakaman cctv digunapakai bagi menjejaki suspek. Video rakaman jelas menunjukkan pengerakan suspek membawa beg berwarna biru memasuki lif dan naik ke tingkat 12 apartmen. Ketika suspek turun dari lif yang sama, beg tersebut tiada bersamanya. Beg itu ditinggalkan di koridor.

Sehari selepas kejadian, suspek berjumpa dengan kawannya untuk menumpang tidur di pejabat kawannya itu. Suspek dikatakan sedang mempunyai masalah dengan isterinya. Disebabkan tiada bekalan air, suspek tinggal di rumah kawannya yang lain. Semasa bertemu dengan kedua-dua kawannya itu, suspek mengakui dia sudah melakukan sesuatu kepada mangsa. Suspek mengaku dia bertanggungjawab membuat bom untuk membalas dendam.

Suspek geram dengan mangsa kerana suspek kalah judi. Akibat kalah judi, dia mengalami kerugian yang terlalu besar. Suspek cuba meminta pertolongan mangsa untuk memberi pinjaman sebanyak RM20 ribu. Tetapi, mangsa enggan memberikan duit tersebut. Suspek bertambah geram. Suspek kemudian diburu polis dan akhirnya ditangkap hampir sebulan selepas insiden letupan bom limau bali itu. Polis dapat mengesan sebuah kereta di parkir Hospital Sg Buloh dan menjumpai satu bungkusan plastik mengandungi kabel berwarna putih. Kabel ini disyaki digunakan suspek untuk membuat bom sendiri. Polis kemudian membuat serbuan di rumah suspek. Satu bilah gergaji kecil, beberapa kotak mancis dan penutup elektrik dijumpai.

Suspek kemudian didakwa di Mahkamah Tinggi KL atas kesalahan membunuh mangsa. Hakim telah memutuskan suspek bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung smpai mati. Peguam bela suspek kemudian membuat rayuan sabitan dan hukuman yang dikenakan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Peguam bela mengatakan suspek sebenarnya tidak berniat untuk membunuh mangsa. 

Suspek hanya bersalah menyebakan mangsa mati. Tindakan suspek menggunakan bahan letupan tidak disangka mampu menyebabkan mangsa mati. Laporan pakar patologi juga tidak menunjukkan mangsa akan meninggal dunia sekiranya bom buatan sendiri itu meletup. Hujahan peguam bela ditolak panel hakim Mahkamah Rayuan. Walaupun laporan pakar patologi tidak menunjukkan mangsa akan mati setelah terkena letupan bom tersebut, bukti-bukti keadaan (circumstantial evidence) berjaya mengaitkan suspek dengan niat membunuh.

Suspek sudah mengaku pada kawannya dia yang membuat bom limau bali tersebut untuk mambalas dendam. Jadi, suspek mempunyai motif membunuh mangsa. Panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Hamid Sultan, Tengku Maimun dan Mah Weng Kwai pada Mei 2014 memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh mangsa di bawah s 300 KK dan dihukum gantung sampai mati.


Sumber : @kamarul14 (twitter)





KANAK-KANAK 5 TAHUN DIBUNUH DAN DIBAKAR



Pagi tu, mangsa pergi kedai runcit dekat dengan kawasan rumah seorang diri. Nak beli mee sedap dengan telur katanya. Mak kemudian tunggu anak dia balik rumah. Tapi tak sampai -sampai. Padahal kedai itu dekat sahaja. Ke mana anak dia menghilang?

Orang terakhir yang melihat budak itu ialah seorang jirannya. Budak itu dilihat menaiki tangga flat kediamannya membawa beg plastik berwarna merah jambu. Tidak ada orang lain yang kelihatan pada masa itu. Disebabkan berasa curiga atas kehilangan mangsa, nenek mangsa telah membuat satu laporan polis. Seminggu selepas laporan polis dibuat, satu mayat telah dijumpai oleh datuk mangsa bersama penduduk kawasan flat tersebut di dalam sebuah rumah terbengkalai.

Ketika mayat dijumpai, identitnya tidak dapat dipastikan sebab sudah rentung. Mayat dibakar dan diletakkan dalam satu lubang di kawasan rumah teebengkalai itu. Pakar forensik Odontologist kemudian membuat pemeriksaan ke atas mayat dan menganggarkan umur purata mayat adalah 4.67 tahun. Umur tersebut konsisten dengan umur budak yang hilang itu.

Ahli kimia kemudian membandingkan spesimen tulang dan darah ibu mangsa dan hasilnya mendapati 99.9% mangsa adalah anaknya berdasarkan data penduduk Melayu di Malaysia. Apa yang sebenarnya terjadi pada mangsa? Siapa yang bertanggungjawab membunuh mangsa? Pakar perubatan forensik kemudian menjalankan post mortem dengan mengambil swab dari anus dan vagina mangsa. Hasilnya, DNA suspek berjaya ditemui.

Pada hari kejadian, suspek yang tinggal di flat berhampiran dengan rumah mangsa dilihat turun ke bawah flatnya untuk membuka suis air yang disambung secara haram. Rakan serumahnya menyatakan suspek datang dari arah kebun kelapa sawit dalam keadaan tergesa-gesa. Ketika itulah, suspek disyaki terlibat dengan insiden pembunuhan mangsa. Suspek kemudian ditahan dan didakwa di Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas kesalahan membunuh mangsa.

Pegawai forensik daripada Makmal Forensik PDRM Cheras mengambil sampel tanah di kawasan rumah terbengkalai tersebut. Sampel tanah itu dibandingkan dengan sampel tanah pada motosikal suspek. Hasilnya, ada persamaan 'soil density gradient' dan warna. Bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah mengesahkan punca kematian mangsa ialah 'smothering and neck compression'. Terdapat juga kesan lebam pada rahang dan hidung mangsa. Mangsa mati sebelum dibakar.

Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memutuskan kesemua elemen pembunuhan berjaya dibuktikan dan tiada sebarang keraguan suspek yang membunuh mangsa. Suspek disabitkan bersalah dan dihukum gantung sampai mati. Peguam bela kemudian membuat rayuan kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Antara hujahan yang dikemukakan peguam bela adalah hakim terkhilaf kerana tidak mengambil kira faktor 'alibi' suspek ketika hari kejadian.

Ujian ke atas sampel tanah juga dikatakan tidak perlu dijadikan bukti konklusif untuk membuktikan suspek terlibat. Saksi yang memberitahu keberadaan suspek semasa hari kejadian iaitu rakan serumah suspek sepatutnya tidak perlu diambil kira kerana saksi itu megambil dadah dan pada mulanya adalah antara yang disyaki terlibat dalam kes ini. Jadi, keterangan saksi tersebut perlu ditolak.

Panel hakim Mahkamah Rayuan menolak kesemua hujahan peguam bela suspek. Disebabkan tiada saksi mata ('eye witness') yang melihat bagaimana mangsa mati dibunuh, bukti-bukti keadaan semasa kejadian berlaku perlu diambil kira. Semasa mayat mangsa dijumpai, ada cebisan kain pelikat milik suspek diiikat pada leher mangsa. Rakan serumah suspek dapat mengecam kain pelikat itu milik suspek. Suspek dikatakan hanya memiliki sehelai kain pelikat untuk mandi dan tidur.

Hakim Mahkamah Rayuan YAA Tengku Maimun Tuan Mat, Balia Yusof dan Mohtarudin bin Baki pada Disember 2014 telah memutuskan suspek bersalah atas tuduhan membunuh mangsa dan dihukum gantung sampai mati.  

Semasa hakim Mahkamah Tinggi membaca keputusan kes, hakim ada mengatakan mangsa diumpan suspek dengan gula-gula strawberry. Mangsa kemudian dikatakan mengikut suspek hingga ke kawasan rumah terbengkalai itu. Walaupun bukti ini tidak disahkan oleh suspek, ianya tidak menjejaskan keseluruhan dapatan mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap suspek. Ini bermaksud tiada sebarang keraguan bahawa suspek 100% terlibat dan berniat membunuh mangsa.

Pada mulanya, polis mengesyaki ayah mangsa sebagai suspek. Setelah siasatan dilakukan, ayah mangsa digugurkan dari senarai suspek dan diarahkan untuk pulang ke Filipina kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.


Sumber : @kamarul14 (twitter)

 
biz.