Seorang lelaki melangkah masuk balai polis di utara tanah air. Gerak gerinya sama seperti orang lain. Tiada yang pelik. Tiada yang mencurigakan. Kemudian dia pun bersuara,"Tuan, saya nak buat report. Saya dah bunuh orang". Semua di situ tergamam.
Suspek, seorang tukang masak di sebuah restoran tinggal di bilik sewa milik majikannya. Pada satu malam jam 9 ketika sedang bekerja, majikannya nampak suspek tidak tentu arah. Dia kelihatan amat gelisah. Suspek kemudian meminta izin untuk pulang ke bilik sewanya. Suspek dibenarkan pulang. Tetapi, 2 jam lebih kemudian, suspek kembali ke restoran. Reaksi suspek sekali lagi tidak berubah. Bagaikan tidak terurus. Merasakan ada sesuatu tidak kena, majikannya kemudian bertanya pada suspek. 'Apa yang telah berlaku ni?'
Suspek kemudian duduk dan bercerita dengan majikannya. Suspek mengaku yang dia telah bunuh seseorang. Suspek telah membunuh kekasihnya. Beg yang dibawa suspek ketika itu mengandungi barang milik kekasihnya. Suspek pun buka beg dan ambil satu gambar. Suspek pun tunjuk gambar tersebut pada majikannya. Inilah gambar kekasihnya. 'Aku dah bunuh dia'. Suspek kemudian mahu tunjukkan pisau yang digunakan. Majikannya enggan melihat pisau itu dan arahkan suspek untuk menyerah diri pada polis.
Suspek buntu. Dia sayangkan kekasihnya tetapi disebabkan kekasihnya menolak tawaran untuk berkahwin dengannya, suspek pun terkejut. Suspek tidak menyangka cintanya ditolak. Suspek kemudian diajak majikannya untuk ke balai polis. Suspek bersetuju. Dia sendiri merasakan dia tidak sedar apa yang telah dilakukannya. Suspek kemudian masuk ke balai polis dan membuat laporan polis. 'Tuan, saya dah bunuh orang'.
Pengakuan suspek membuat semua yang ada di balai polis tergamam. Pengakuan suspek direkodkan dan anggota polis terus bergerak pergi ke lokasi kejadian. Mereka masuk ke dalam bilik sewa suspek. Suspek kemudian tunjuk pada polis lokasi dia membunuh mangsa. Suspek kemudian ditangkap dan didakwa atas kesalahan membunuh mangsa. Suspek berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan bersalah.
Laporan bedah siasat dari Hospital Sultanah Bahiyah menunjukkan mangsa mati akibat kesan tikaman dan tetakan pada anggota badan mangsa. 'The deceased died due to 26 stab wounds and 4 slash wounds on the body mostly on the thorax area, on chest and at the back'.
Peguam bela suspek berhujah ssupek tidak berniat membunuh mangsa. Suspek mengaku dia tidak sedar apa yang telah berlaku. Dia hanya sedar ketika melihat badan mangsa sudah terlantar di atas lantai. Suspek kemudian dirujuk pada Hospital Tanjung Rambutan untuk pengesahan kesihatan mental. Laporan perubatan menujukkan suspek waras ketika kejadian. Hakim Mahkamah Tinggi kemudian menolak hujahan peguam bela suspek.
Suspek didapati berniat untuk membunuh mangsa. Suspek juga telah mengaku melakukan pembunuhan. Jadi, bukti tersebut digunapakai bagi membuktikan suspek bersalah. 'A confession could be admitted if it was proved to be made voluntarily' (seksyen 24 Akta Keterangan).
Hakim Mahkamah Tinggi Alor Star pada Ogos 2012 kemudian memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh mangsa dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Hakim menambah, alasan cinta ditolak bukanlah satu bentuk provokasi yang membolehkan suspek bertindak membunuh mangsa. Perlakuan dan tindakan suspek adalah melampaui batas hingga mengorbankan nyawa mangsa.
Penghakiman penuh kes boleh dirujuk dalam PP v Syahril Razali [2014] 6 MLJ 881, Mahkamah Rayuan (Putrajaya).
Sumber : @kamarul14 (twitter)

0 comments:
Post a Comment