Tuesday, May 5, 2020

KONSPIRASI PEMBUNUH UPAHAN DAN KUMPULAN AJARAN SESAT

Gambar Penjenayah Sebenar

Sebuah kereta berhenti parkir di luar rumah. Mahu minta derma katanya. Yang peliknya nombor plat belakang kereta telah dicabut. Tuan rumah pun keluar setelah ucapan salam diberikan. Tanpa diketahui, pembunuh upahan sebenarnya ada dalam kereta tu. 

Setelah menyedari ada tetamu yang datang, tuan rumah telah keluar dari rumah dan pergi buka pintu pagar. Tetamu itu ditanya sama ada mahu singgah dahulu ke rumah. Tetamu itu terus jawab 'tak pa sekejap sahaja'. Beberapa saat kemudian, seseorang keluar dari kereta yang diparkir. Tanpa disangka, tiga das tembakan dilepaskan ke arah tuan rumah. Tembakan mengenai dada mangsa. Anak mangsa yang melihat kejadian itu dapat melihat kedua-dua lelaki yang berada di luar rumah masuk semula ke dalam kereta dan terus beredar dari situ.

Mangsa yang rebah berlumuran darah telah meninggal dunia. Bedah siasat dijalankan di hospital mendapati terdapat beberapa luka tembakan masuk dan keluar pada tubuh mangsa. Punca kematian disahkan akibat dari kecederaan dan pendarahan di dada hasil tembakan di dada. Kenapa mangsa dibunuh? Siasatan polis mendapati terdapat satu konspirasi telah dirancang untuk membunuh mangsa. Mangsa yang merupakan seorang pegawai agama dikatakan kerap kali mengganggu aktiviti sebuah kumpulan ajaran sesat. Kelibat mangsa amat tidak disenangi.

Hal ini kerana mangsa banyak kali menyebarkan keburukan ajaran sesat tersebut. Ketua ajaran sesat itu kemudian merancang satu konspirasi bagi 'melenyapkan' mangsa dari muka bumi. Kumpulan tersebut mengatakan 'Tuhan arahkan kamu untuk melenyapkan mangsa kerana tidak jalankan tugas dengan adil di sisi Tuhan'. Pelbagai cara pada awalnya dirancang seperti melanggar lari mangsa, menculik mangsa dan meletakkan racun dalam makanan. Tetapi melihatkan lokasi yang tidak sesuai, suspek menegaskan 'perintah Tuhan kalau boleh disegerakan'.

Suspek kemudian diberi 'kebenaran' untuk membunuh mangsa dan arahan 'shot to kill' diberikan supaya mangsa dibunuh. Kelibat mangsa kemudian diintai oleh 3 orang rakan suspek. Ketiga-tiga orang rakan suspek ini memantau pengerakan mangsa di rumahnya di Kuantan. Ketiga-tiga rakan suspek ini menaiki kereta yang berlainan dengan kereta yang berhenti di depan pintu pagar mangsa. Mereka ini hanya memerhati dari jauh mangsa ditembak. Polis berjaya menahan ketiga-tiga rakan suspek ini dan mereka dijadikan saksi penting bagi pihak pendakwaan.

Ketiga-tiga mereka merupakan saksi-saksi yang diberikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009. Kedua-dua suspek yang datang ke rumah mangsa pada hari kejadian ditangkap dan didakwa atas kesalahan membunuh mangsa. Hakim Mahkamah Tinggi menegaskan 'keterangan dari rakan sejenayah tidak semestinya tidak boleh diterima'. Penilaian yang teliti dibuat oleh Mahkamah supaya keterangan mereka tidak prejudiskan tertuduh.

Mahkamah Tinggi telah memutuskan kedua-dua suspek bersalah dan dihukum gantung sampai mati di bawah s 302 KK. Ketua ajaran sesat bersama isteri dan orang kanannya turut didakwa atas kesalahan konspirasi jenayah di bawah s 120B (1) KK, namun telah dilepas dan dibebaskan pada akhir perbicaraan di Mahkamah Tinggi. Hal ini kerana ada keraguan mengenai wujudnya arahan untuk membunuh.

Suspek dikatakan mendapat arahan membunuh dari ketua ajaran sesat tersebut sedangkan suspek dikatakan banyak kali berkomunikasi dengan isteri ketua ajaran sesat itu. Ketua mereka sebenarnya berada dalam keadaan uzur dan ini memungkinkan wujud kesukaran untuk berkomunikasi. Disebabkan adanya percanggahan siapakah yang memberi arahan supaya membunuh mangsa, kesalahan konspirasi jenayah tidak dapat dibuktikan.

Pada April 2018, panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Zawawi Salleh, Kamardin Hashim dan Rhodzariah Bujang memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh. Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan. Suspek cuba menafikan penglibatan dengan mengatakan mereka tiada di tempat kejadian semasa pembunuhan berlaku. Tetapi hujahan suspek hanyalah penafian dan rekaan semata-mata. Anak mangsa dengan jelas nampak kelibat dua orang suspek ketika tembakan berlaku.

Suspek juga cuba menafikan mereka mempunyai niat bersama untuk melakukan pembunuhan. Tetapi, hujahan suspek ditolak hakim. Perancangan sudah diatur rapi oleh suspek untuk membunuh mangsa. Keterangan daripada rakan suspek dan perbualan telefon dijadikan bukti penglibatan. 

Pada November 2018, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, YAA Richard Malanjum telah memutuskan suspek bersalah membunuh mangsa. Tuduhan berlakunya konspirasi jenayah digugurkan disebabkan ketua jaran sesat telah meninggal dunia. Kedua-dua suspek kekal bersalah dan hukuman gantung sampai mati dikekalkan. Dalam kes ini, sebenarnya ada tiga orang suspek yang berada dalam kereta yang berhenti di depan rumah mangsa. Suspek yang memberi salam semasa tiba di di depan pintu pagar dipercayai masih bebas.

Kejadian menyayat hati ini berlaku pada November 2013 di kawasan perumahan di Indera Mahkota 2, Kuantan Pahang. Sehari sebelum kejadian, kerana curiga kereta suspek parkir di sebelah rumah, jiran mangsa sempat mengetuk cermin kereta suspek. Suspek ditanya 'tengah tunggu siapa?'. Suspek menjawab 'nak tunggu kawan'. Ketika inilah, muka suspek termasuklah pembunuh upahan dapat dilihat jelas.

Ketika sesi kawad cam tidak sampai sebulan selepas kejadian, saksi dapat mengecam wajah suspek dengan cepat. Peguam bela berhujah,sepatutnya suspek tidak dapat dicam dengan sebegitu pantas kerana dikatakan memakai topi sudu ketika menembak mangsa. Hujahan tersebut ditolak hakim. 

Penghakiman penuh kes boleh dirujuk dalam kes Shamsinar Abdul Halim v Pendakwa Raya dan satu lagi rayuan [2018] 4 MLJ 734 - Mahkamah Rayuan Putrajaya.


Sumber : @kamarul14  (twitter)

"KALAU YOU MASUK, SAYA AKAN BUNUH INI ORANG!"


Pada hampir jam 7 pagi pada 23 Februari 2005, suasana tenang di sebuah hotel di ibu negara kemudian bertukar kecoh. Seorang tetamu hotel ternampak tompokan air merah pekat di atas lantai di luar bilik hotel. Tetamu hotel tersebut berasa tidak sedap hati. 

Hal ini kerana tompokan merah itu adalah darah manusia. Pintu bilik kemudian diketuk dari luar. Mungkin ada sesuatu yang berlaku di dalam bilik tersebut. Kerana ingin tahu kenapa ada tompokan darah, pintu bilik tersebut cuba dibuka namun gagal. Kemudian, ada suara kedengaran dari dalam bilik. Penghuni bilik itu arahkan tetamu di luar bilik supaya beredar dan jangan ganggu dia. Curiga ada sesuatu yang buruk berlaku, kejadian ini terus dimaklumkan kepada pengurus hotel. Dengan pantas, pengurus hotel tiba.

Beliau kemudian menjerit dan arahkan penghuni bilik no 3022 tersebut supaya membuka pintu bilik. Penghuni bilik itu menjawab dari dalam bilik 'jika kamu buka pintu, ada seseorang akan pukul saya'. 'Lebih baik kamu panggil polis'. Dengan segera, polis dipanggil. 

Ketika polis tiba, polis arahkan penghuni bilik tersebut membuka pintu sebelum pintu bilik dirempuh masuk. Polis kemudian terdengar 'kalau you masuk, saya akan bunuh ini orang, lu balik, jangan kacau saya'. Polis kemudian bertindak pecahkan pintu bilik tersebut. Pintu tersebut tidak dapat dibuka sepenuhnya kerana dihadang dengan katil dan rak tv. Melalui celahan pintu bilik yang terbuka, polis dapat melihat keadaan bilik yang agak bersepah. Yang lebih mengejutkan ialah kelihatan seorang lelaki berbogel.

Lelaki tersebut sedang memegang 'VCD player' di sebelah tangannya. Sebelah lagi memegang rambut seorang perempuan (mangsa). Tangan dan kaki mangsa tersebut telah diikat. Mangsa kemudian diheret ke dalam tandas. Polis ketika ini masih tidak dapat masuk ke dalam bilik. Suspek yang mengheret mangsa ke tandas kemudian berdiri di atas mangkuk jamban. Sambil memegang botol kaca yang pecah, suspek menjerit 'saya bunuh dia orang, saya bunuh dia orang'. Polis kemudian terus merempuh masuk dan menangkap suspek.

Pakar patologi mengesahkan mangsa mati disebabkan kecederaan teruk di muka dan leher mangsa. Ahli kimia mengesahkan darah suspek mengandungi amphetamine dan methamphetamine dan memaklumkan 'seseorang di bawah pengaruh dadah jenis psycostimulant boleh pngaruhi fikiran kita'. Suspek kemudian didakwa di Mahkamah Tinggi KL atas tuduhan membunuh mangsa. Hakim Mahkamah Tinggi menolak kesemua hujahan peguam bela suspek. Walaupun suspek positif dadah, suspek tidak berada dalam keadaan mabuk dan masih sedar dengan apa yang telah dilakukannya.

Hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada suspek di bawah s 302 KK. Suspek bersalah membunuh mangsa. Keputusan hakim mahkamah tinggi ini kemudian disahkan oleh panel hakim Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan juga memutuskan suspek bersalah kerana membunuh mangsa. Kes ini kemudian naik ke mahkamah paling tinggi, Mahkamah Persekutuan. Peguam bela suspek membuat rayuan di hadapan panel hakim tertinggi negara. Kes didengar 5 hakim diketuai Ketua Hakim Malaya ketika itu, Zulkefli CJ. Panel hakim juga terdiri daripada YAA Richard Malanjum, Hashim Yusoff, Abdul Hamid Embong dan Sulong Matjeraie. Peguam bela berhujah suspek sebenarnya tidak berniat membunuh mangsa dan tidak patut dihukum gantung sampai mati.

Dalam hujahan tersebut, 'the injuries inflicted on the deceased were not sufficient in the ordinary course of nature to cause death'. Ini kerana laporan pakar patologi mengesahkan kecederaan teruk di bahagian muka dan leher mangsa adalah kerana suspek berulang kali memukulnya. Secara semula jadinya, kecederaan tersebut tidak akan boleh membawa maut. Dengan itu, suspek seharusnya didakwa di bawah s 299 KK (menyebabkan kematian bukan kerana membunuh) dan bukannya di bawah s 300 KK (membunuh).

Sekiranya didakwa di bawah S 299, suspek didapati bersalah kerana 'with the knowledge that he is likely by such act to cause death'. Perbuatan suspek kemungkinan berlakunya kematian kepada mangsa adalah rendah. Ianya bukan dianggap membunuh mangsa dengan niat (Raja Azlan Shah J). 

Panel hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa 'no evidence led by the pathologist as to whether the injuries inflicted on the deceased were sufficient in the ordinary course of nature to cause death. Kecederaan pada muka dan leher mangsa tidak dianggap boleh membawa maut secara semulajadi kepada mangsa. Jadi, suspek tidak boleh didakwa atas kesalahan membunuh mangsa di bawah s300 KK dan tidak patut digantung sampai mati.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan suspek bersalah di bawah S299 KK dan dihukum di bawah s304(a) KK yang membawa hukuman penjara 20 tahun. Suspek terlepas hukuman gantung sampai mati. Hakim menambah, kecederaan teruk yang dialami mangsa tidak boleh sebulat-bulatnya dijadikan asas untuk buktikan adanya niat untuk membunuh. Mangsa merupakan kekasih suspek dikatakan mempunyai hubungan dengan orang lain. Peguam bela suspek berhujah, tindakan suspek membunuh mangsa adalah disebabkan provokasi dari mangsa yang menyebabkan hubungan cinta mereka musnah. Tetapi, hakim Mahkamah Tinggi menolak hujahan ini.

Penghakiman penuh boleh dirujuk dalam kes Cheong Kam Kuen v Public Prosecutor [2013] 1 MLJ 15 (Mahkamah Persekutuan, Putrajaya).

Sumber : @kamarul14 (twitter)

PELAJAR TINGKATAN 4 MATI SELEPAS DISEPAK DI DADA

Gambar Hiasan

Mereka diarahkan membentuk satu piramid manusia. Seorang daripada mereka akan panjat piramid dan perlu sentuh siling. Malangnya, piramid itu tidak stabil. Semua jatuh ke lantai. Mereka didenda. Kemudian, mangsa tiba-tiba mengadu sesak nafas.

Mangsa, pelajar tingkatan 4 ketika itu, telah diarahkan bersama rakan-rakannya untuk membina satu piramid manusia. Dan kawan mangsa yang paling atas kemudian akan menyentuh siling bilik. Mereka semua bersetuju. Tiada masalah untuk mereka bekerjasama melakukannya. Tetapi, piramid manusia yang dibina tidak dapat bertahan. Akibatnya, ramai daripada mereka jatuh bertindih antara satu sama lain. Senior yang berada di tempat kejadian tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

Ketika dalam keadaan kelam kabut itu, kedengaran seseorang telah mencarut. Tidak dapat dipastikan siapa yang berkata sedemikian. Rakan-rakan mangsa mengatakan senior mereka yang berada di situ yang berbuat sedemikian. Pegawai pula menyangka salah seorang rakan mangsa yang sebenarnya mencarut. Akibatnya, mereka semua ditanya dan dipaksa mengaku. Tiada seorang pun yang mengaku menyebut perkataan lucah tersebut. Akibatnya, mereka semua didenda oleh senior.

Mereka termasuklah mangsa telah diarahkan untuk berada dalam 'hemmerlight position'. Hemmerlight position bermaksud badan angkat, tangan di lantai, kaki di lantai atau 'a push up position but with arms and legs straight and together'. Kemudian, mereka semua disepak pada bahagian dada. Semasa giliran mangsa didenda, selepas mangsa ditendang, mangsa sempat bangun dan sempat bergerak beberapa langkah. Tetapi kemudian, mangsa rebah. Mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri.

Pakar forensik kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan sakit jantung yang acute disebabkan oleh anomaly pada salur darah coronary dan bersama-sama dengannya terdapat kecederaan tumpul pada dada ('acute myodical infarction due to coronary artery anomaly associated with the blunt trauma to the chest'). Disebabkan itu, suspek yang bertanggungjawab menendang mangsa ditahan dan didakwa di mahkamah atas kesalahan 'culpable homicide not amounting to murder' di bawah seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Kes didengar di depan majisret. Majistret kemudian memutuskan suspek dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri. Ini bermaksud pihak pendakwaan gagal membuktikan adanya kes prima facie terhadap suspek. Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara kemudian membuat rayuan atas keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pendakwa berhujah suspek perlu bertanggungjawab atas kesalahan tersebut kerana tindakan suspek menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Hujahan pendakwa raya ditolak hakim. Pendakwa gagal membuktikan niat dan status pengetahuan suspek bahawa tendangannya boleh menyebabkan kematian pada si mati.  Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam bela yang mengatakan sekiranya tindakan suspek itu boleh menyebabkan kematian, suspek tidak akan mendenda mangsa sedemikian. 

Di dalam kes ini, mahkamah menerima bukti yang mengatakan mangsa ditendang oleh suspek. Tetapi, bukti perubatan mengatakan mangsa mengalami kecederaan pada sebelah kiri bahagian belakang badan. Saksi pula mengatakan suspek menendang mangsa di sebelah kanan belakang badan mangsa. Disebabkan kegagalan pendakwaan membuktikan kes prima facie ke atas suspek, hakim Mahkamah Tinggi KL, YA Amelia Tee pada April 2014 memutuskan bahawa suspek dilepaskan dan dibebaskan dari tuduhan ke atas mangsa.


"SAYA NAK BUAT REPORT, SAYA DAH BUNUH ORANG!"


Seorang lelaki melangkah masuk balai polis di utara tanah air. Gerak gerinya sama seperti orang lain. Tiada yang pelik. Tiada yang mencurigakan. Kemudian dia pun bersuara,"Tuan, saya nak buat report. Saya dah bunuh orang". Semua di situ tergamam. 

Suspek, seorang tukang masak di sebuah restoran tinggal di bilik sewa milik majikannya. Pada satu malam jam 9 ketika sedang bekerja, majikannya nampak suspek tidak tentu arah. Dia kelihatan amat gelisah. Suspek kemudian meminta izin untuk pulang ke bilik sewanya. Suspek dibenarkan pulang. Tetapi, 2 jam lebih kemudian, suspek kembali ke restoran. Reaksi suspek sekali lagi tidak berubah. Bagaikan tidak terurus. Merasakan ada sesuatu tidak kena, majikannya kemudian bertanya pada suspek. 'Apa yang telah berlaku ni?'

Suspek kemudian duduk dan bercerita dengan majikannya. Suspek mengaku yang dia telah bunuh seseorang. Suspek telah membunuh kekasihnya. Beg yang dibawa suspek ketika itu mengandungi barang milik kekasihnya. Suspek pun buka beg dan ambil satu gambar. Suspek pun tunjuk gambar tersebut pada majikannya. Inilah gambar kekasihnya. 'Aku dah bunuh dia'. Suspek kemudian mahu tunjukkan pisau yang digunakan. Majikannya enggan melihat pisau itu dan arahkan suspek untuk menyerah diri pada polis.

Suspek buntu. Dia sayangkan kekasihnya tetapi disebabkan kekasihnya menolak tawaran untuk berkahwin dengannya, suspek pun terkejut. Suspek tidak menyangka cintanya ditolak. Suspek kemudian diajak majikannya untuk ke balai polis. Suspek bersetuju. Dia sendiri merasakan dia tidak sedar apa yang telah dilakukannya. Suspek kemudian masuk ke balai polis dan membuat laporan polis. 'Tuan, saya dah bunuh orang'.

Pengakuan suspek membuat semua yang ada di balai polis tergamam. Pengakuan suspek direkodkan dan anggota polis terus bergerak pergi ke lokasi kejadian. Mereka masuk ke dalam bilik sewa suspek. Suspek kemudian tunjuk pada polis lokasi dia membunuh mangsa. Suspek kemudian ditangkap dan didakwa atas kesalahan membunuh mangsa. Suspek berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan bersalah.

Laporan bedah siasat dari Hospital Sultanah Bahiyah menunjukkan mangsa mati akibat kesan tikaman dan tetakan pada anggota badan mangsa. 'The deceased died due to 26 stab wounds and 4 slash wounds on the body mostly on the thorax area, on chest and at the back'.

Peguam bela suspek berhujah ssupek tidak berniat membunuh mangsa. Suspek mengaku dia tidak sedar apa yang telah berlaku. Dia hanya sedar ketika melihat badan mangsa sudah terlantar di atas lantai. Suspek kemudian dirujuk pada Hospital Tanjung Rambutan untuk pengesahan kesihatan mental. Laporan perubatan menujukkan suspek waras ketika kejadian. Hakim Mahkamah Tinggi kemudian menolak hujahan peguam bela suspek.

Suspek didapati berniat untuk membunuh mangsa. Suspek juga telah mengaku melakukan pembunuhan. Jadi, bukti tersebut digunapakai bagi membuktikan suspek bersalah. 'A confession could be admitted if it was proved to be made voluntarily' (seksyen 24 Akta Keterangan). 

Hakim Mahkamah Tinggi Alor Star pada Ogos 2012 kemudian memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh mangsa dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Hakim menambah, alasan cinta ditolak bukanlah satu bentuk provokasi yang membolehkan suspek bertindak membunuh mangsa. Perlakuan dan tindakan suspek adalah melampaui batas hingga mengorbankan nyawa mangsa.

Penghakiman penuh kes boleh dirujuk dalam PP v Syahril Razali [2014] 6 MLJ 881, Mahkamah Rayuan (Putrajaya).


Sumber : @kamarul14 (twitter)

PELAJAR KOLEJ BUNUH PENSYARAH KERANA DUIT

Gambar Penjenayah Sebenar

Kes ini tercetus angkara kehilangan duit dan barang kemas kepunyaan mangsa dan ibu mangsa. Barang kemas dan duit tersebut sebenarnya telah dicuri oleh suspek. Suspek cuba menafikan dia yang mencuri dengan menyuruh mangsa menjalani rawatan tradisional. Rawatan itu perlu bagi menghalau hantu yang dikatakan ada pada duit yang hilang. Suspek bersama 3 orang rakannya yang lain merupakan pelajar di sebuah kolej di ibu negara dan mangsa dipercayai merupakan pensyarah dan juga kekasih kepada suspek utama.

Ketika rawatan hendak dijalankan, barang kemas emak mangsa dikumpul dan diletakkan dalam satu bekas plastik. Barang kemas tersebut diberikan kepada suspek utama. Rawatan pertama kali yang sepatutnya dibuat di rumah mangsa telah dibatalkan tanpa alasan yang jelas diberikan. 

2 hari kemudian, suspek bersama 3 rakannya berkumpul. Mereka ingin merancang sesuatu. Kali ini bukan rawatan tradisional yang mahu dibuat. Suspek utama yang merupakan kekasih mangsa tahu mangsa akan membuat laporan polis tentang kehilangan wang dan barang kemas. Suspek pun gelabah. Dia mungkin akan dipenjara dan disebat atas kesalahan mencuri. Jadi, dia dan rakannya perlu bertindak pantas. Suspek memberikan sarung tangan dan tali kepada 3 rakannya. Mereka rancang nak bunuh mangsa dan ayah mangsa.

Pada hari kejadian, ibu mangsa tiada di rumah bersama mangsa dan ayahnya kerana telah pulang ke kampung halaman di Johor. Ketika itu, suspek dan 3 rakannya datang ke rumah mangsa. Mangsa ingatkan mereka ingin membuat rawatan seperti dijanjikan. Mangsa sebenarnya diperangkap. Ketika tiba dirumah mangsa, suspek dan seorang kawannya keluar sekejap dari rumah mangsa untuk berjumpa dengan seseorang di tempat lain. Yang tinggal di rumah hanyalah ayah mangsa dan 2 orang rakan suspek.

Ayah mangsa dan 2 rakan suspek sama-sama menonton TV ketika itu. Salah seorang daripadanya bangun dan pergi ke tandas. Dia kembali dengan memakai sarung tangan. Rakan suspek itu terus tarik ayah mangsa dan mengikat tangan dan kaki. Hidung dan mulut ayah mangsa ditutup. Ayah mangsa ditarik ke dalam bilik paling depan. Rakan suspek terus menutup mulut dan hidungnya sehingga tidak lagi bernafas. Setelah ayah mangsa tidak lagi bernafas, mereka semua duduk di ruang tamu. Menunggu mangsa dan suspek sampai.

Semasa mangsa tiba di rumahnya, mangsa ingin berjumpa dengan ayahnya. Tapi, dihalang oleh suspek.  Mangsa dibawa ke bilik belakang dan di situ mangsa pula dikerjakan. Muka mangsa ditutup dengan bantal. Mangsa meronta-ronta. Mangsa kemudian terkulai dan meninggal. Selepas kejadian itu, kesemua suspek melarikan diri ke utara tanah air. Kematian mangsa dan ayahnya dapat dihidu ibu mangsa yang berasa curiga. Dia sudah tidak dapat berhubung dengan anak dan suaminya beberapa hari sebelum kejadian. Firasatnya menjangkakan perkara buruk terjadi.

Laporan polis kemudian dibuat ibu mangsa. Suspek dan 3 rakannya ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh. Mahkamah Tinggi telah suspek dan 2 rakannya bersalah dan digantung sampai mati. Seorang rakan suspek dilepaskan dan dibebaskan. Peguam bela suspek kemudian membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Suspek dikatakan tidak terlibat membunuh ayah mangsa. Suspek tiada di tempat kejadian ketika ayah mangsa dibunuh. Adakah hujahan ini diterima mahkamah?

Panel hakim Mahkamah Rayuan menolak hujahan peguam bela suspek. Peguam bela suspek juga berhujah punca mangsa dan ayahnya meninggal tidak dibuktikan dengan jelas melalui bukti perubatan yang perkara itu mampu menyebabkan mereka mati. Mereka meninggal mungkin kerana lebihan dos paracetamol. Tetapi, hujahan peguam bela ditolak.

Bukti daripada pakar menjelaskan bahawa kedua-dua mangsa mati kerana kekurangan oksigen, jadi punca kematian mangsa dan ayahnya memang telah dibuktikan dengan jelas. Panel hakim Mahkamah Rayuan,  YAA Aziah Ali, Rohana Yusuf dan Ahmadi Haji Hasnawi pada Mac 2017 telah menolak rayuan peguam bela suspek. Kesemua suspek kekal bersalah dan dihukum gantung sampai mati.

Keputusan Mahkamah Rayuan dirayu peguam bela suspek ke Mahkamah Persekutuan. Pada Mac 2018, panel 5 hakim diketuai Ketua Hakim Negara, YAA Tun Md Raus Sharif telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan. Semua suspek bersalah dan dihukum gantung sampai mati.

Penghakiman penuh kes boleh dirujuk dalam Mohamad Zul Shahril v Public Prosecutor [2017] MLJU 274, Mahkamah Rayuan Putrajaya.


Sumber : @kamarul14 (twitter)

BUNUH ORANG GUNA BOM MERCUN BOLA

Gambar Hiasan

Suasana tenang di pagi hari berubah apabila sesuatu yang aneh berlaku. Satu beg berisi dua biji limau bali diletakkan di luar lif sebuah apartmen. Ingatkan hadiah daripada seseorang, tetapi limau bali itu tiba-tiba meletup. Apa yang terjadi? 

Jam 8 pagi, mangsa keluar dari rumahnya di Aparment Desa Tun Razak, Cheras dan menuju ke lif. Sebelum masuk ke dalam lif, mangsa nampak satu beg ditinggalkan di koridor. Mangsa kemudian membuka beg tersebut dan melihat 2 biji limau bali ada di dalam beg. Inginkan kepastian siapa yang memberi limau itu, mangsa kemudian mencari sesuatu di dalam beg itu. Malangnya, limau bali kemudian meletup dengan kuat dan menyebabkan mangsa terbakar. Mangsa meraung kesakitan. Seorang saksi melihat mangsa berada dalam kesakitan akibat terbakar dan letupan itu menyebakan mangsa meninggal dunia.

Siasatan  menunjukkan limau bali tersebut telah diubahsuai menjadi bom. 2 paket bungkusan mercun bola digunakan untuk meletupkan limau bali tersebut. Persoalannya, siapa yang sanggup melakukan tindakan sebegitu hingga mangsa mati? Rakaman cctv digunapakai bagi menjejaki suspek. Video rakaman jelas menunjukkan pengerakan suspek membawa beg berwarna biru memasuki lif dan naik ke tingkat 12 apartmen. Ketika suspek turun dari lif yang sama, beg tersebut tiada bersamanya. Beg itu ditinggalkan di koridor.

Sehari selepas kejadian, suspek berjumpa dengan kawannya untuk menumpang tidur di pejabat kawannya itu. Suspek dikatakan sedang mempunyai masalah dengan isterinya. Disebabkan tiada bekalan air, suspek tinggal di rumah kawannya yang lain. Semasa bertemu dengan kedua-dua kawannya itu, suspek mengakui dia sudah melakukan sesuatu kepada mangsa. Suspek mengaku dia bertanggungjawab membuat bom untuk membalas dendam.

Suspek geram dengan mangsa kerana suspek kalah judi. Akibat kalah judi, dia mengalami kerugian yang terlalu besar. Suspek cuba meminta pertolongan mangsa untuk memberi pinjaman sebanyak RM20 ribu. Tetapi, mangsa enggan memberikan duit tersebut. Suspek bertambah geram. Suspek kemudian diburu polis dan akhirnya ditangkap hampir sebulan selepas insiden letupan bom limau bali itu. Polis dapat mengesan sebuah kereta di parkir Hospital Sg Buloh dan menjumpai satu bungkusan plastik mengandungi kabel berwarna putih. Kabel ini disyaki digunakan suspek untuk membuat bom sendiri. Polis kemudian membuat serbuan di rumah suspek. Satu bilah gergaji kecil, beberapa kotak mancis dan penutup elektrik dijumpai.

Suspek kemudian didakwa di Mahkamah Tinggi KL atas kesalahan membunuh mangsa. Hakim telah memutuskan suspek bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung smpai mati. Peguam bela suspek kemudian membuat rayuan sabitan dan hukuman yang dikenakan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Peguam bela mengatakan suspek sebenarnya tidak berniat untuk membunuh mangsa. 

Suspek hanya bersalah menyebakan mangsa mati. Tindakan suspek menggunakan bahan letupan tidak disangka mampu menyebabkan mangsa mati. Laporan pakar patologi juga tidak menunjukkan mangsa akan meninggal dunia sekiranya bom buatan sendiri itu meletup. Hujahan peguam bela ditolak panel hakim Mahkamah Rayuan. Walaupun laporan pakar patologi tidak menunjukkan mangsa akan mati setelah terkena letupan bom tersebut, bukti-bukti keadaan (circumstantial evidence) berjaya mengaitkan suspek dengan niat membunuh.

Suspek sudah mengaku pada kawannya dia yang membuat bom limau bali tersebut untuk mambalas dendam. Jadi, suspek mempunyai motif membunuh mangsa. Panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Hamid Sultan, Tengku Maimun dan Mah Weng Kwai pada Mei 2014 memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh mangsa di bawah s 300 KK dan dihukum gantung sampai mati.


Sumber : @kamarul14 (twitter)





KANAK-KANAK 5 TAHUN DIBUNUH DAN DIBAKAR



Pagi tu, mangsa pergi kedai runcit dekat dengan kawasan rumah seorang diri. Nak beli mee sedap dengan telur katanya. Mak kemudian tunggu anak dia balik rumah. Tapi tak sampai -sampai. Padahal kedai itu dekat sahaja. Ke mana anak dia menghilang?

Orang terakhir yang melihat budak itu ialah seorang jirannya. Budak itu dilihat menaiki tangga flat kediamannya membawa beg plastik berwarna merah jambu. Tidak ada orang lain yang kelihatan pada masa itu. Disebabkan berasa curiga atas kehilangan mangsa, nenek mangsa telah membuat satu laporan polis. Seminggu selepas laporan polis dibuat, satu mayat telah dijumpai oleh datuk mangsa bersama penduduk kawasan flat tersebut di dalam sebuah rumah terbengkalai.

Ketika mayat dijumpai, identitnya tidak dapat dipastikan sebab sudah rentung. Mayat dibakar dan diletakkan dalam satu lubang di kawasan rumah teebengkalai itu. Pakar forensik Odontologist kemudian membuat pemeriksaan ke atas mayat dan menganggarkan umur purata mayat adalah 4.67 tahun. Umur tersebut konsisten dengan umur budak yang hilang itu.

Ahli kimia kemudian membandingkan spesimen tulang dan darah ibu mangsa dan hasilnya mendapati 99.9% mangsa adalah anaknya berdasarkan data penduduk Melayu di Malaysia. Apa yang sebenarnya terjadi pada mangsa? Siapa yang bertanggungjawab membunuh mangsa? Pakar perubatan forensik kemudian menjalankan post mortem dengan mengambil swab dari anus dan vagina mangsa. Hasilnya, DNA suspek berjaya ditemui.

Pada hari kejadian, suspek yang tinggal di flat berhampiran dengan rumah mangsa dilihat turun ke bawah flatnya untuk membuka suis air yang disambung secara haram. Rakan serumahnya menyatakan suspek datang dari arah kebun kelapa sawit dalam keadaan tergesa-gesa. Ketika itulah, suspek disyaki terlibat dengan insiden pembunuhan mangsa. Suspek kemudian ditahan dan didakwa di Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas kesalahan membunuh mangsa.

Pegawai forensik daripada Makmal Forensik PDRM Cheras mengambil sampel tanah di kawasan rumah terbengkalai tersebut. Sampel tanah itu dibandingkan dengan sampel tanah pada motosikal suspek. Hasilnya, ada persamaan 'soil density gradient' dan warna. Bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah mengesahkan punca kematian mangsa ialah 'smothering and neck compression'. Terdapat juga kesan lebam pada rahang dan hidung mangsa. Mangsa mati sebelum dibakar.

Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memutuskan kesemua elemen pembunuhan berjaya dibuktikan dan tiada sebarang keraguan suspek yang membunuh mangsa. Suspek disabitkan bersalah dan dihukum gantung sampai mati. Peguam bela kemudian membuat rayuan kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Antara hujahan yang dikemukakan peguam bela adalah hakim terkhilaf kerana tidak mengambil kira faktor 'alibi' suspek ketika hari kejadian.

Ujian ke atas sampel tanah juga dikatakan tidak perlu dijadikan bukti konklusif untuk membuktikan suspek terlibat. Saksi yang memberitahu keberadaan suspek semasa hari kejadian iaitu rakan serumah suspek sepatutnya tidak perlu diambil kira kerana saksi itu megambil dadah dan pada mulanya adalah antara yang disyaki terlibat dalam kes ini. Jadi, keterangan saksi tersebut perlu ditolak.

Panel hakim Mahkamah Rayuan menolak kesemua hujahan peguam bela suspek. Disebabkan tiada saksi mata ('eye witness') yang melihat bagaimana mangsa mati dibunuh, bukti-bukti keadaan semasa kejadian berlaku perlu diambil kira. Semasa mayat mangsa dijumpai, ada cebisan kain pelikat milik suspek diiikat pada leher mangsa. Rakan serumah suspek dapat mengecam kain pelikat itu milik suspek. Suspek dikatakan hanya memiliki sehelai kain pelikat untuk mandi dan tidur.

Hakim Mahkamah Rayuan YAA Tengku Maimun Tuan Mat, Balia Yusof dan Mohtarudin bin Baki pada Disember 2014 telah memutuskan suspek bersalah atas tuduhan membunuh mangsa dan dihukum gantung sampai mati.  

Semasa hakim Mahkamah Tinggi membaca keputusan kes, hakim ada mengatakan mangsa diumpan suspek dengan gula-gula strawberry. Mangsa kemudian dikatakan mengikut suspek hingga ke kawasan rumah terbengkalai itu. Walaupun bukti ini tidak disahkan oleh suspek, ianya tidak menjejaskan keseluruhan dapatan mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap suspek. Ini bermaksud tiada sebarang keraguan bahawa suspek 100% terlibat dan berniat membunuh mangsa.

Pada mulanya, polis mengesyaki ayah mangsa sebagai suspek. Setelah siasatan dilakukan, ayah mangsa digugurkan dari senarai suspek dan diarahkan untuk pulang ke Filipina kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.


Sumber : @kamarul14 (twitter)

KERETA DIPANDU LAJU REMPUH TETAMU DI BAWAH KHEMAH KENDURI

Gambar Hiasan

Pada malam kejadian, suspek menaiki kereta dan berhenti di kawasan Gopeng, Perak. Jejak suspek dapat dihidu polis yang menaiki kereta peronda. Suspek merupakan seorang yang dikehendaki polis atas satu kes rusuhan. Menyedari kelibatnya dihidu polis, suspek mula gelabah. Suspek memandu kereta hingga ke kawasan perumahan di Jalan Utama Kg Tersusun, Kopisan Baru, Gopeng. Suspek mati langkah setelah jalan dihalang oleh khemah majis perkahwinan.

Kelihatan ada tetamu yang berdiri di bawah khemah itu. Ada yang sedang menjamu selera. Suspek berhentikan kereta dan padamkan lampu kereta. Kereta suspek betul-betul menghadap khemah tersebut. Di belakang kereta suspek, kereta peronda polis sedia menunggu. Suspek buntu.

Beberapa saat kemudian, tanpa disangka oleh tetamu di bawah khemah tersebut, suspek menghidupkan lampu kereta dan menekan pedal minyak kereta. Suspek merempuh langgar khemah. Saksi mengatakan suspek 2 kali melanggar khemah itu. Rempuhan pertama, suspek melanggar dua orang mangsa. Disebabkan rempuhan itu, kereta suspek tersekat di tengah tengah khemah. Suspek undurkan sedikit kereta dan bergerak semula ke depan. Rempuhan kedua kemudian menggilis kepala mangsa berusia 2 tahun.

2 orang mangsa lagi mengalami kecederaan parah. Kaki mangsa kedua digilis dan tulang mangsa ketiga pula dikatakan retak akibat rempuhan itu. Suspek memecut laju meninggalkan kawasan kejadian. Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan segera. Mangsa berusia 2 tahun disahkan mati akibat kecederaan serius di kepala. Doktor pakar forensik sahkan mangsa mati disebabkan 'head injury that leads to his death which is consistent with road traffic crash'. Mangsa kedua mengalami kecederaan 'close fracture left 2nd, 3rd ad 4th metarsal bone'. Mangsa ketiga pula mengalami kecederaan 'multiple superficial abrasion wound over the right elbow and both knee'. 

Suspek kemudian ditahan dan didakwa bawah s 300 (d) Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. Suspek mengetahui perbuatannya amat dan begitu bahaya yang boleh datangkan kematian atau bencana tubuh yang boleh menyebabkan kematian. Jadi, suspek berniat untuk membunuh. Suspek mengatakan dia bertindak sedemikian kerana mahu lari daripada polis. Suspek mengatakan polis datang ke arah keretanya dengan membawa pistol. Tetapi, kenyataan suspek ini ditolak hakim Mahkamah Tinggi Ipoh. Polis sebenarnya hanya berada di dalam kereta peronda.

Mahkamah Tinggi Ipoh telah memutuskan suspek bersalah atas tuduhan membunuh mangsa dan suspek dikenakan hukuman gantung sampai mati. Peguam bela suspek kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya. Peguam bela suspek berhujah suspek tidak berniat membunuh. Tindakan suspek hanyalah untuk larikan diri daripada polis. Suspek tidak pun sedar ada melanggar mangsa semasa merempuh khemah. Tindakan suspek undur dan gerakkan kereta ke depan bukanlah untuk menggilis mangsa tetapi kerana keretanya sudah tersekat. Kerusi dan meja di bawah khemah telah menghalang kereta suspek bergerak. Jadi, suspek sebenarnya hanya ingin larikan diri.

Pendakwa raya, Jabatan Peguam Negara kemudian berhujah. Perbuatan suspek memandu ke arah khemah itu boleh membawa 'imminent danger' pada sesiapa yang ada di situ. Suspek telah berhenti sekejap menghadap khemah dan suspek sedar ada tetamu di bawah khemah itu. Jadi, suspek yang bersalah.

Panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Tengku Maimun, Kamardin Hashim dan Abdul Karim pada Mac 2018 telah memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh mangsa. Di bawah s 300 (d) KK 'all that is needed is knowledge that the act is likely to cause death. The emphasis is on the imminently dangerous character of the act itself'. 'There is callousness towards the result and the risk taken is such that it may be stated that the person knows the act is likely to cause death' (kes Mahkamah Persekutuan Kenneth Fook Mun Lee).

Perbuatan suspek sebenarnya tidak menghiraukan keselamatan dan nyawa manusia. Tindakan suspek tidak boleh dikatakan terburu-buru atau cuai. Perbuatannya adalah disengajakan dan suspek tahu kesan rempuhan itu boleh datangkan risiko kematian. Jadi, suspek didapati bersalah atas kesalahan membunuh mangsa dan dihukum gantung sampai mati.


Sumber : @kamarul14 (twitter)



Sunday, May 3, 2020

SUSPEK 13 TAHUN BUNUH ANAK CIKGU TUISYEN

Gambar Hiasan

Petang tu, emak mangsa telefon suspek 'what happpened to my daughter?'. Suspek terus jawab 'Sorry teacher, teacher sorry, sorry teacher'. Pilu perasaan emak apabila anaknya telah pergi untuk selama-lamanya. Apa yang jadi sebenarnya?

Pada hari kejadian, suspek, pelajar tingkatan 1 di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur, mahu datang ke kelas tambahan (tuisyen) di rumah cikgunya. Suspek bagitau cikgu tuisyen dia mahu datang ke rumah cikgu pada pukul 3.30 petang. 

Tapi, cikgunya tak bagi suspek datang pukul 3.30 petang sebab awal sangat. Cikgu ada mesyuarat di sekolah pada waktu itu. Tapi, tepat jam 3.30 pm, suspek terpacak ada di luar pagar rumah cikgunya. Suspek telefon cikgunya, dan maklumkan dia sudah sampai di depan rumah cikgu.

Melalui telefon, cikgu arahkan anak perempuannya membuka pintu rumah dan benarkan suspek masuk. Ketika itu, anak perempuan cikgu tinggal keseorangan di dalam rumah. Tanpa mengesyaki apa-apa yang berlaku, suspek dibenarkan masuk dan perlu menunggu cikgu pulang ke rumah. 

Pada pukul 4 petang, cikgu menerima panggilan telefon dari rumahnya sendiri. Suara suspek kedengaran. Suspek bertanya pada cikgu bila cikgu nak balik?. Cikgu pun jawab cikgu dah dalam perjalanan pulang ke rumah. Cikgu pun tanya apa yang sedang suspek buat. Suspek pun jawab 'i am sitting on a sofa'. Kemudian, tepat pukul 4.30 petang cikgu pun sampai kat rumahnya. Pintu pagar tidak dikunci. Mangga di gril pintu pula dikunci dari luar. Sepatutnya mangga itu dikunci dari dalam. Cikgu mula berasa curiga.

Semasa cikgu masuk ke dalam rumah, ada titik titik darah di atas lantai di ruang tamu. Cikgu terus memanggil suspek dan anak perempuannya. Cikgu kemudian pergi ke arah dapur. Darah makin banyak di lantai. Tiada sesiapa di situ. Cikgu terus pergi ke bilik air. Pintu bilik air tidak ditutup rapat. Semasa pintu dibuka, kelihatan anak perempuannya terbaring berlumuran darah di atas lantai. Cikgu terkejut dan terus menjerit meminta tolong. Cikgu berlari ke arah rumah jiran. Jirannya kemudian datang membantu.

Dengan bantuan jiran, mangsa dibawa ke Klinik Surgery Setapak. Doktor di klinik tersebut arahkan mangsa dibawa ke hospital. Mangsa terus dibawa ke Gleneagle Hospital, Jalan Ampang dan dimsukkan ke wad kecemasan. Ketika doktor sedang merawat mangsa, cikgu kemudian menelefon suspek. 'What happened to my daughter?'. Suspek pun berkata 'sorry teacher, teacher sorry, sorry teacher'. 'I dont know why i did it'.

Semasa mangsa dibawa ke hospital,  tiada tanda yang menunjukkan mangsa masih hidup. Tiada lagi denyutan nadi. Tekanan darah tidak lagi dapat diambil. Tiada pernafasan ole mangsa. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia. Polis dimaklumkan kejadian ini dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. Polis terus pergi ke rumah ayah suspek dan berjaya menahan suspek di situ. Suspek didakwa atas tuduhan membunuh mangsa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Laporan pakar forensik menunjukkan mangsa mati akibat kehilangan darah yang sangat banyak akibat dari pelbagai luka ('massive harmorrhage due to multiple slash and stab wounds'). Terdapat lebih kurang 20 kecederaan tikaman (stab wounds) dan 4 kecederaan tetakan (slash wounds) menggunakan senjata tajam pada badan mangsa. Satu tikaman dari belakang badan mangsa telah menembusi jantung mangsa.

Pisau yang digunakan suspek dijumpai polis berhampiran dengan kawasan rumah kedai ayah suspek. Baldi di dalam bilik air dalam kedai ayah suspek dipercayai digunakan untuk merendam pakaian suspek. Kesan darah suspek dijumpai dalam baldi tersebut. 

Persoalan di sini adakah suspek yang membunuh mangsa? Ketika kejadian bunuh itu berlaku, kawan suspek pun sebenarnya datang ke rumah cikgu untuk kelas tuisyen. Tetapi suspek pergi keluar dari rumah cikgu dan bagitau kawannya kelas tuisyen tiada pada hari itu. Suspek berkata cikgu akan gantikan kelas pada hari lain. Padahal, cikgu sebenarnya tidak batalkan kelas pada hari tersebut. Suspek hanya mereka-reka cerita. Mungkin suspek ingin gunkan peluang ini untuk membunuh mangsa.

Ketika suspek bagitahu kelas tuisyen itu dibatalkan, suspek berlari ke arah kereta ayah kawannya dan bagitahu kelas tiada hari ini. Ketika itu, suspek kelihatan berpeluh-peluh dan hadapan baju suspek kelihatan basah. Baju dan seluar suspek yang direndam dalam bilik air disahkan mempunyai darah milik mangsa. Pisau yang dijumpi juga mempunyai DNA suspek dan mangsa.

Pengakuan suspek semasa bercakap melalaui telefon dengan cikgunya juga dijadikan bukti penglibatan suspek dalam membunuh mangsa. 'I dont know why i did it' yang diucapkan suspek membuktikan suspek telah mengaku melakukan pembunuhan itu. 'A confession is an admission made at any time by a person accused of an offence, stating or suggesting the inference that he committed the offence' (seksyen 17(2) Akta Keterangan).

Hakim Mahkamah Tinggi KL, Ahmad Maarop memutuskan kesemua elemen pembunuhan telah dibuktikan oleh pihak pendakwa raya. Dengan melihat pada jumlah kecederaan mangsa, sifat-sifat kecederaan dan senjata yang digunakan, tiada keraguan suspek berniat membunuh mangsa. Persoalan kenapa suspek bertindak membunuh mangsa? Difahamkan mangsa memanggil suspek berulang kali 'fatty' dan 'stupid'. Mangsa juga dikatakan membesarkan dan mengecilkan volume radio semasa berada bersama suspek di dalam rumah. Suspek dikatakan tidak bertindak balas sebaliknya hanya memendam perasaan. Tetapi perasaan suspek tidak dapat dikawal kerana kemudian mangsa meletakkan dua bilah pisau di hadapan suspek. Ego suspek mula tercabar dan tanpa dijangka, suspek bangun bertindak membunuh mangsa.

Jadi, peguam bela suspek menegaskan suspek sebenarnya tidak berniat membunuh mangsa. Provokasi daripada mangsa mendorong suspek bertindak. Hakim Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak hujahan peguam bela suspek. Hakim memutuskan 'hanya kerana seorang yang kena tuduh itu berkata dia tidak ada niat untuk membunuh, tidaklah terus menjadikan apa yang dibuat itu bukannya membunuh'.

Disebabkan suspek baru berusia 12 tahun 9 bulan ketika kejadian, suspek tidak boleh dihukum gantung sampai mati. Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan suspek ditahan di penjara selama yang diperkenankan Yang Di Pertuan Agong. Suspek diarahkan supaya diasingkan dari pesalah dewasa. Kes ini merupakan kes pertama di Malaysia di mana pesalah kanak-kanak disabitkan atas tuduhan membunuh dan dikenakan tahanan limpah di bawah seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak. Kes kemudian dibawa ke Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Suspek kemudian melantik Mendiang Karpal Singh sebagai peguam bela dan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Peguam bela mencabar kesasihan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak yang dianggap melanggari prinsip 'separation of power' di bawah Perlembagaan Malaysia. Peguam bela berhujah kenapa patut pesalah kanak-kanak perlu dikenakan tahanan penjara di bawah Akta Kanak-Kanak sedangkan kuasa menghukum sepatutnya diberikan pada mahkamah. Panel hakim Gopal Sri Ram, Zulkefli dan Raus Sharif memutuskan sekyen 97(2) Akta Kanak-Kanak tidak sah.

Suspek kekal bersalah tetapi hukuman tahanan penjara diketepikan. Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara kemudian membuat rayuan kepada panel hakim tertinggi di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. 5 hakim tertinggi negara ketika itu mendengar rayuan kes,  Ketua hakim negara, YAA Ahmad Fairuz,  Abdul Hamid Mohamad (presiden Mahkamah Rayuan), Alaudin (Ketua Hakim HC Malaya), Richard Malanjum, (Ketua Hakim HC Sabah Sarawak) dan Zaki Azmi (Hakim Mahkamah Persekutuan).

Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan memutuskan pesalah kanak-kanak boleh dihukum tahanan penjara dan tidak perlu digantung sampai mati. 'Federal law provides that the sentences of death shall not be recorded against a person who is a child at the time of commission of offence'. 'That is the limit of judicial power imposed by the law'. 'Legislature provides the sentence and the court impose it where appropriate'.

Pada Oktober 2007, majoriti panel hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan hukuman pada suspek dikekalkan. Suspek didapati bersalah atas kesalahan membunuh dan diperintah ditahan dipenjara di bawah perkenan YDPA. 

Penghakiman penuh kes ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur boleh dirujuk dalam kes Public Prosecutor v KK [2003] MLJU 846.

Penghakiman penuh kes ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya boleh dirujuk dalam kes Kok Wah Kuan v Public Prosecutor [2007] 5 MLJ 174.

Penghakiman penuh kes ini di Mahkamah Persekutuan Putrajaya boleh dirujuk dalam kes Public Prosecutor v Kok Wah Kuan [2008] 1 MLJ 1.


Sumber : @kamarul14 (twitter)

PEMANDU GRAB LARIKAN, TUMBUK DAN CEKIK PENUMPANG


Dalam keadaan cemas,mangsa menyuruh suspek berhentikan kereta. Namun, suspek bertindak balas dengan menumbuk kepala mangsa. Apa yang berlaku pada mangsa?

Kes tragis ini berlaku pada September 2017 apabila seorang pelajar perempuan telah dilarikan suspek, pemandu 'Grab Car' dari Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Taman Maluri. Mangsa ingin pulang ke asramanya di Jalan Badak dan tanpa disangka langkah mangsa menaiki grab telah membawa satu episod hitam kepada dirinya.

Setelah menyedari destinasi yang dituju bukan pada tempat yang betul, mangsa terus bertanya pada suspek. Tetapi malangnya suspek terus memandu keretanya tanpa mempedulikan mangsa. Suspek kemudian memberhentikan keretanya di satu kawasan hutan simpan. Suspek bertindak menyerang mangsa. Mangsa meronta-ronta meminta tolong di tempat duduk penumpang di bahagian belakang kereta.

Tanpa disangka, suspek menumbuk dahi dan kepala mangsa. Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudian dicekik. Suspek mengugut bunuh mangsa sekiranya mangsa cuba melawan. Mangsa mula ketakutan dan suspek semakin beranikan diri. Mangsa terpaksa ikut apa sahaja arahan daripada suspek. Suspek kemudian bertindak memegang paha dan dada mangsa.

Suspek mengajak mangsa pergi ke hotel. Mangsa cadangkan suspek agar membawanya ke hotel di Kuala Lumpur. Suspek bersetuju. Mangsa kemudian dibawa suspek menuju ke Hotel Manis di Setapak Kuala Lumpur. Setelah suspek berhentikan keretanya, mangsa mengambil peluang untuk larikan diri. Mangsa lari ke bengkel berdekatan untuk meminta pertolongan. Suspek mula cemas. Menyedari mangsa sudah tiada, suspek pun melarikan diri.

Suspek kemudiannya berjaya ditangkap dan didakwa atas kesalahan mencederakan mangsa di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan. Suspek juga didakwa atas kesalahan mencabul kehormatan mangsa di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan dan juga kesalahan ugutan bunuh kepada mangsa di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kes kemudian dibawa di Mahkamah Majistret di Selangor dan setelah ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan suspek, suspek kemudian mengaku bersalah. Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon pada mahkamah agar mangsa dipanggil masuk untuk memberikan keterangan. Keterangan mangsa iaitu 'Victim Impact Statement' adalah penting bagi mempengaruhi hukuman yang akan dikenakan pada suspek (seksyen 183A Kanun Prosedur Jenayah).

Dalam keterangannya, mangsa menyatakan akibat daripada insiden tersebut, dia berasa trauma, sedih, malu dan emosinya terganggu. Kehidupannya sebagai seorang pelajar juga telah terjejas. Pihak pendakwa raya memohon satu hukuman berat dikenakan kepada suspek dengan mengambil kira nasib yang menimpa mangsa serta kepentingan awam bagi mencegah jenayah yang sama berulang.

Majistret Haslinda kemudian memutuskan suspek bersalah dan dihukum penjara 12 bulan untuk kesalahan cederakan mangsa, penjara 14 bulan atas kesalahan cabul mangsa dan penjara 15 bulan atas kesalahan ugutan bunuh kepada mangsa. Kesemua hukuman penjara tersebut dijalankan secara berturut-turut ('consecutively, not concurrently').

Where there are two or more distinct offences had been committed, sentences of imprisonment should not be made to run concurrently' (kes Mahkamah Rayuan Iwan Bujang Dara v PP).

Penghakiman penuh kes ini boleh dirujuk dalam kes Pendakwa Raya lwn Muhammad Izuwan [2018] MLJU 1565 - Mahkamah Majistret (Selangor)


Sumber : @kamarul14 (twitter)

SUSPEK 16 TAHUN MEMBUNUH

Gambar Hiasan
Kejadian bunuh ini terjadi pada awal Disember 2012 di mana suspek telah disyaki membunuh seorang wanita warganegara China di dalam bilik No 5646, Tingkat 5, Hotel First World, Genting Highlands. 

Tepat jam 4.35 petang pada hari kejadian, anggota polis di balai polis Genting Highlands telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki. Lelaki tersebut melaporkan ada seorang perempuan terlantar menahan sakit di luar bilik hotel. Lehernya ada kesan dikelar. Anggota polis tersebut kemudian memaklumkan kejadian tersebut pada pegawai penyiasat khas. Pegawai penyiasat pergi ke tempat kejadian bersama jurugambar polis.

Semasa tiba, pegawai penyiasat dapat melihat banyak darah di dalam bilik hotel tersebut. Hal ini disebabkan mangsa ditikam oleh suspek berkali-kali. Mangsa tiada di hotel tersebut kerana telahpun dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. 

Keesokan harinya, mangsa telah disahkan meninggal dunia. Persoalannya sekarang, siapa yang menikam mangsa? Di mana suspek melarikan diri? Semasa berada di dalam bilik hotel tersebut, pegawai penyiasat berjaya menemui satu sarung pisau celoreng dan satu beg yang mempunyai kesan darah. Mungkin ini ada kaitan dengan suspek. Kondom juga dijumpai dalam bilik tersebut.

Penyelia CCTV hotel kemudian menunjukkan rakaman CCTV pada hari kejadian. Rakaman jelas menunjukkan pengerakan seorang lelaki yang memakai penutup mulut, keluar dari bilik mangsa dengan keadaan tergesa-gesa.  Seorang saksi yang merupakan ejen pelacuran memberitahu dia ada menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki. Lelaki tersebut ingin melanggan pelacur. Adakah lelaki tersebut suspek kes bunuh? 3 nombor bilik diberikan kepada lelaki tersebut termasuklah bilik mangsa.

Enam hari selepas kejadian, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bentong telah berjaya menangkap suspek di dalam sebuah kenderaan di Kluang, Johor. Beg galas milik suspek juga berjaya dirampas. Polis kemudian pergi menyerbu sebuah rumah di mana ada kaitan dengan kes tikaman tersebut. Beberapa barang telah ditemui. Sepasang kasut, penutup mulut dan tiket bas berjaya dirampas.

Suspek kemudian disoal siasat polis. Semasa soal siasat, suspek memberitahu polis "saya boleh tunjuk pisau itu dan baju yang saya simpan di rumah, pisau itu disimpan dalam almari bersama baju". Polis kemudian berjaya menemui pisau di sebuah rumah di Kluang, Johor. Pisau yang dijumpai ini mempunyai kebarangkalian yang tinggi digunakan suspek ketika menikam mangsa.

Pakar patologi forensik kemudian telah mengesahkan mangsa mati akibat dikelar di bahagian leher. Terdapat 21 jenis kecederaan dikesan pada badan mangsa. 3 tikaman pada badan mangsa adalah tikaman membawa maut. Mangsa disahkan ditikam dengan objek tajam. Kes dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang. Suspek ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Hukuman gantung menanti suspek jika didapati bersalah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan suspek kerana tiada kes prima facie dibuktikan dalam kes ini. Tiada kes prima facie bermaksud tiada elemen pembunuhan dilakukan dan dibuktikan di mahkamah. Rakaman CCTV tidak menunjukkan muka suspek. Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara kemudian membuat rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi. Pendakwa Raya berhujah bahawa bukti-bukti telah jelas menunjukkan kaitan suspek dengan kematian mangsa. Mangsa mati akibat perbuatan suspek. Rayuan pendakwa diterima.

Dalam kes bunuh, pembunuhan terjadi apabila 
a) mangsa telah mati,  
b) mangsa mati akibat kecederaan yang dialami, 
c) kecederaan mangsa disebabkan oleh suspek, 
d) tindakan suspek lazimnya akan menyebabkan kematian dan 
e) suspek ada niat untuk membunuh mangsa.

Kes kemudian dibicara dan suspek diarah membela diri. Selesai perbicaraan, suspek didapati bersalah atas kesalahan membunuh. Kesemua elemen pembunuhan telah dapat dibuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah. Suspek kemudian membuat rayuan di Mahkamah Rayuan. Panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Zawawi Salleh, Yaacob Md Sam dan Abdul Karim pada Oktober 2018 memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh mangsa. Bukti jelas mengaitkan suspek dalam kes ini.

Pegawai sains mengesahkan ada DNA suspek pada beg yang dijumpai dalam bilik mangsa. Pisau yang dijumpai berpadanan dengan sarung pisau yang dijumpai dalam bilik hotel. Tiket bas jelas menunjukkan suspek ada di Genting Highlands pada hari kejadian. Disebabkan suspek berumur 16 tahun 5 bulan ketika kejadian, suspek dikira di bawah umur dan tidak boleh digantung sampai mati (seksyen 97 Akta Kanak-Kanak).  Disebabkan itu, suspek ditahan di penjara dalam tempoh masa yang diperkenankan oleh Sultan Pahang.

Dalam konteks pesalah bawah umur, hukuman gantung sampai mati adalah terkecuali, kerana terdapat undang-undang khusus yang memperuntukkan hukuman kepada pesalah bawah umur. Akta Kanak-Kanak 2001 melarang pesalah bawah 18 tahun daripada dikenakan hukuman gantung sampai mati. Suspek kini menjalani hukuman penjara dalam tempoh masa atas perkenan Sultan Pahang.

Penghakiman penuh kes ini boleh dirujuk dalam kes Ng Kian Seng lwn Pendakwa Raya [2018] MLJU 1311 - Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Sumber : @kamarul14 (twitter)

POLIS BUAT JENAYAH DI BALAI POLIS


Tepat jam 3.30 pagi, pengadu melangkah masuk balai polis dengan harapan dirinya diselamatkan, tetapi malangnya dirinya sendiri menjadi mangsa cabul anggota polis. Kejadian luar biasa ini berlaku pada 4 Ogos 2011 di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, Terengganu apabila mangsa dicabul oleh suspek, seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Pada mulanya suasana agak tenang dan sepi disebabkan masa sudah menjelang 3 pagi, tetapi bertukar menjadi satu tragedi yang tidak akan dilupakan mangsa. Setelah lebih satu jam mangsa memberi keterangan kepada suspek, tiba-tiba suspek bercakap lucah. Suspek memberitahu mangsa, dia sudah lama tidak 'bersama' dengan isterinya. Mangsa terkejut mendengar kata-kata suspek yang tiba-tiba berubah.

Suspek kemudian memberitahu mangsa 'alat sulitnya' sudah menegang dan suspek sudah tidak tahan ghairah. Suspek membuka zip seluarnya sehingga menampakkan seluar dalam yang dipakainya. Suspek terus menarik tangan mangsa dan memaksa mangsa meletakkan tangan pada seluar dalam yang dipakainya. Suspek menyuruh mangsa memegang kemaluan.

Mangsa yang berada dalam ketakutan merayu pada suspek supaya jangan melakukan apa-apa kepadanya. Mangsa cuba melarikan diri namun dihalang suspek. Suspek kemudian bertambah agresif. Suspek dengan berani menghimpit mangsa ke meja dan dengan selamba memegang buah dada, meraba punggung dan kemaluan mangsa. Mangsa kemudian bertindak berani melarikan diri.

Suspek kemudian ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Marang atas kesalahan jenayah mencabul kehormatan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan. Ketika kes dalam tempoh perbicaraan di Mahkamah Majistret, suspek meninggal dunia. Tidak dinyatakan sebab kematian suspek.

Mangsa kemudian memulakan tindakan sivil bagi tort pencerobohan (trespass to person) terhadap isteri mangsa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bagi menuntut ganti rugi. Mangsa dilaporkan mengalamai trauma yang teruk (post traumatic stress disorder). Kesan akibat peristiwa hitam tersebut, mangsa terpaksa menjalani rawatan psikiatri dengan doktor pakar. Mangsa disahkan mengalami penderitaan mental dan dan fizikal. Keadaan mangsa betul-betul berubah.

Hakim Mahkamah Sesyen membenarkan tuntutan ganti rugi dan memerintahkan isteri suspek untuk membayar mangsa ganti rugi am akibat trauma sebanyak RM20,000 dan ganti rugi teladan sebanyak RM100,000. Mahkamah Sesyen memutuskan suspek yang bertanggungjawab secara peribadi atas kejadian yang berlaku. Ketua Polis Daerah Marang dan Kerajaan Malaysia yang turut disaman tidak perlu bertanggungjawab kerana kesalahan suspek melibatkan perbuatan bersifat individu.

Kerajaan Malaysia dan Ketua Polis Daerah sebagai majikan suspek tidak boleh dianggap bertanggungjawab atas perbuatan suspek yang tidak berkaitan dengan skop tugasan suspek. Perkara ini adalah tindakan bersifat sendiri dan peribadi (kes Mahkamah Persekutuan Samin bin Hassan).

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kemudian menukar keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen dan memutuskan tindakan suspek perlu ditanggung juga oleh Kerajaan Malaysia dan Ketua Polis Daerah (vicarious liability). Hal ini kerana suspek melakukan kesalahan tersebut di balai polis. Namun, setelah kes dibawa ke rayuan di Mahkamah Rayuan, panel hakim YAA Tengku Maimun, Abdul Rahman Sebli dan Zaleha Yusof pada Jun 2017 memutuskan hanya suspek yang bersalah. Majikan suspek tidak bertanggungjawab atas tindakan suspek.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini bermaksud suspek bertanggungan secara peribadi atas kesalahan yang dibuat. Majikannya tidak bertanggungjawab. Perbuatan mencabul bukanlah berada dalam skop tugasan suspek dan ianya memang menyalahi undang-undang. Jadi, hanya suspek yang bersalah. Disebabkan kes tindakan sivil ini bermula di Mahkamah Sesyen, kes tersebut akan berakhir di Mahkamah Rayuan. Kes tidak boleh lagi dirayu di Mahkamah Persekutuan walaupun ianya mahkamah tertinggi di Malaysia (keputusan kes Mahkamah Persekutuan Maria Chin tahun 2018).

Penghakiman penuh kes ini boleh dirujuk dalam kes Ketua Polis Daerah Marang v Hasmalizza Ramli [2017] 5 MLJ 209 - Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Sumber : @kamarul14 (twitter)

POLIS PEMBELOT! - SEJARAH HITAM MALAYSIA MODEN


Semasa sedang menjual ikan, informer polis nampak kelibat lebih 1500 lelaki berkumpul dengan berpakaian ala-ala tentera. Informer polis merasakan ada sesuatu yang luar biasa akan berlaku. "Jangan abaikan hal ini, kasi tau orang atasan!" 

Itulah kata-kata informer polis kepada suspek, seorang anggota polis cawangan khas (special branch) PDRM berpangkat koperal yang didakwa atas kesalahan membelot dan merahsiakan adanya info pengganas menceroboh masuk Sabah pada 2013. Informer polis tersebut dengan jelas dapat melihat sekumpulan lelaki dalam jumlah yang luar biasa berpakaian askar tertulis 'Royal Sulu Force' pada uniform mereka. Yang pasti mereka bukan daripada mana-mana unit tentera Malaysia.

Perbualan antara penceroboh dapat didengar dan mereka merancang untuk menawan Sabah. Informer polis kemudian terus memaklumkan hal ini kepada suspek untuk membolehkan suspek melaporkan hal ini kepada ketua polis cawangan khas. Malangnya, suspek tidak berbuat apa-apa.
3 hari kemudian, informer polis yang sama dapat melihat 4 bot kecil memasuki Bangkuran, Lahad Datu. Info ini kemudian diberikan kepada suspek untuk dilaporkan kepada ketua polis special branch tetapi suspek sekali lagi tidak berbuat apa-apa. Apa sebenarnya motif suspek?

Kemudiannya, suspek dikesan berkomunikasi dengan lelaki tidak dikenali. Pada jam 7.37 malam 2 Mac 2013, satu panggilan telefon dapat dipintas oleh informer polis kedua, seorang pembantu tadbir yang bertugas di ibu pejabat polis Bukit Aman. Suspek diberitahu 400 askar akan memasuki Sabah sebagai 'back-up' kepada askar Sulu. Suspek yang mengetahui hal ini tidak melaporkan kepada ketua polis special branch.

Panggilan telefon kedua antara suspek dan kumpulan penceroboh kemudian dapat dipintas informer polis yang mendengar satu serangan ala gerila akan dilakukan oleh kumpulan penceroboh. Informer polis ini memahami perbualan disebabkan mahir dalam bahasa Bajau dan Sulu. Info serangan gerila yang akan dibuat diterima suspek, tetapi sekali lagi info ini tidak dilaporkan kepada ketua suspek, ketua polis special branch. Atas kelalaian suspek inilah, suspek ditahan dan didakwa.

Pada 2014, suspek didakwa atas kesalahan gagal mendedahkan maklumat mengenai tindakan pengganas di bawah seksyen 130M Kanun Keseksaan. Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara 7 tahun kepada suspek. Suspek didapati bersalah atas kesalahan jenayah tersebut. Suspek kemudian membuat rayuan atas sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Tinggi.

Peguam suspek berhujah maklumat yang diberikan oleh kedua-dua informer polis adalah tidak sah dan tidak boleh digunapakai. Peguam suspek juga berhujah suspek dijadikan kambing hitam oleh cawangan khas PDRM dan dijadikan penyebab berlakunya insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Hujahan peguam suspek ditolak Mahkamah Rayuan pada Februari 2018. Panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Lim Yee Lan, Abdul Rahman Seblj dan Zaleha Yusof memutuskan suspek bersalah atas kesalahan gagal mendedahkan info keganasan kepada ketua polis special branch. Mahkamah Rayuan memutuskan info yang diberikan informer polis adalah info yang sahih dan boleh digunapakai. Info pengganas dalam panggilan telefon adalah sah disebabkan keterangan yang diperoleh secara tidak sah adalah boleh diterima jika ia relevan dengan isu (sec 24 SOSMA).

Informer-informer polis telah diarahkan untuk memberi segala maklumat tentang pengganas kepada suspek. Kegagalan suspek melaporkan maklumat pengganas membawa padah kerana insiden pencerobohan benar-benar terjadi. Suspek tahu dia perlu melaporkan info tentang pengganas dan perkara tersebut memang dalam skop tugasan suspek. Sekiranya suspek gagal melakukannya, hai ini  dikira sebagai satu kesalahan (keputusan kes Chung Kok Yeang v PP).

Insiden keganasan Lahad Datu telah meragut nyawa antaranya Koperal Sabaruddin Daud dan Inspektor Zulkifli Mamat, anggota unit Komando VAT69. Insiden ini boleh dielakkan sekiranya suspek bertindak sebaliknya dan tidak menjadi pembelot (perenggan 28 penghakiman kes). Disebabkan kesalahan gagal mendedahkan info pengganas dengan sengaja, suspek dikenakan hukuman penjara 7 tahun. Hukuman penjara ke atas suspek dikekalkan oleh panel hakim Mahkamah Rayuan pada Februari 2018.

Penghakiman penuh kes ini boleh dirujuk dalam kes Hassan bin Hj Ali Basari v Public Prosecutor [2019] 1 MLJ 390 -Mahkamah Rayuan Putrajaya.


Sumber : @kamarul14 (twitter)

BANDUAN AKHIR TUNGGU 14 TAHUN UNTUK DIHUKUM MATI


Peristiwa ini terjadi pada seorang banduan yang didakwa atas kesalahan membunuh mangsa di kedai salon di Jalan TAR, Kuala Lumpur pada Februari 1997 di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Dalam kes bunuh tersebut, 3 mangsa mati ditikam banduan tersebut di bahagian kepala dan leher menggunakan parang. Hukuman gantung sampai mati diberikan Mahkamah Tinggi pada Jun 2000. Banduan ini menunggu untuk digantung dalam bilik akhir di Penjara Kajang.

Rayuan banduan atas hukuman gantung yang dikenakan telah ditolak Mahkamah Rayuan pada Mei 2003 dan ditolak Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2008. Hal ini bermaksud hukuman gantung sampai mati dikekalkan. Banduan ini cuba mendapatkan pengampunan daripada Lembaga Pegampunan untuk mengenepikan hukuman gantung tetapi ditolak pada November 2013. Hal ini bermaksud nasib banduan mungkin berakhir di tali gantung.

Tarikh 14 Mac 2014 kemudiannya ditetapkan sebagai tarikh banduan digantung. Banduan ini hanya menunggu hari untuk dihukum gantung. Tanpa alasan yang didedahkan, hukuman gantung tersebut tidak dapat dilksanakan dan ini memaksa banduan tersebut meringkuk lagi dalam bilik akhir penjara Kajang.

Bilik akhir ialah bilik yang menempatkan banduan sebelum banduan digantung sampai mati. Suspek ditempatkan di bilik akhir bermula Jun 2000. Tarikh Jun 2000 hingga Mac 2014 menunjukkan banduan ini menunggu hampir 14 tahun. Dalam tempoh masa tersebut, banduan ini telah mengalami masalah mental dan kesihatan yang serius.

Laporan kesihatan daripada Hospital Bahagia, Ulu Kinta mengesahkan banduan ini mengalami masalah mental, schizophrenia. Banduan ini menjadi gila kerana terpaksa menunggu dalam tempoh masa yang lama dalam bilik akhir. Schizophrenia adalah satu penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan berterusan pada penerimaan (perception) seseorang pada gambaran alam sebenar (realiti) kerana mengalami delusi dan halusinasi pendengaran.

Peguam dilantik mewakili banduan tersebut bagi menyaman Ketua Pengarah Penjara Kajang yang dipersalahkan kerana menyebabkan banduan menjadi gila. Peguam banduan tersebut berhujah tempoh terlalu lama menunggu sebelum hukuman gantung dibuat adalah salah, tidak berperikemanusiaan dan kejam. Kelewatan dalam menjalankan hukuman mati sehingga menjejaskan kesihatan mental banduan dianggap melanggari kebebasan diri (personal liberty) Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara yang mewakili Ketua Pengarah Penjara berhujah Mahkamah Persekutuan telahpun memutuskan hukuman gantung dikenakan pada banduan dan ini bermakna banduan tidak boleh dilepaskan dan dibebaskan.  Isu yang menjadi perdebatan ini berterusan hingga ke Mahkamah Rayuan Putrajaya. Panel hakim perlu memutuskan sama ada boleh atau tidak hukuman gantung sampai mati dikenakan pada banduan gila?

Pada November 2016, panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Abang Iskandar, Varghese George dan Nallini Pathmananthan memutuskan banduan tidak perlu digantung. Panel hakim memutuskan hukuman gantung sampai mati tidak boleh dikenakan pada banduan yang gila (keputusan kes Mahkamah Agung di India, Shatrughan Chauhan). Dengan ini, banduan masih lagi mempunyai hak untuk mengemukakan hak-hak walaupun banduan tersebut hanya menunggu hukuman gantung dilaksanakan (kes Mahkamah Persekutuan, Lee Kwan Woh).

Mahkamah Rayuan memutuskan banduan ini dilepaskan dari hukuman gantung dan diarahkan untuk dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi. Persoalan kenapa hukuman gantung ke atas banduan ditangguhkan terlalu lama masih menjadi misteri dan tidak terjawab sehingga ke hari ini.

Laporan penuh penghakiman kes ini boleh dirujuk dalam kes Michael Philip Spears v Ketua Pengarah Penjara Kajang [2017] 1 MLJ 472 - Mahkamah Rayuan Putrajaya

Sumber : @kamarul14 (twitter)

Saturday, May 2, 2020

"DON'T TELL ME! I KNOW WHAT IS GOING ON!"


Mangsa merupakan fresh graduate Royal Military College (RMC) melapor diri sebagai leftenan di sebuah kem tentera di sabah dan semasa program orientasi, mangsa dikatakan dipukul oleh 2 orang pegawai tentera yang merupakan senior di situ.

Kejadian pertama pada 8 September 1991,di mana mangsa dengan hanya berdiri sebelah kaki, diarahkan suspek pertama untuk mengangkat tong gas dengan kedua-dua belah tangan. Mangsa dipaksa bertahan untuk beberapa minit. Disebabkan tidak mampu bertahan, mangsa ditumbuk berkali-kali pada bahagian muka dan telinga. Mangsa hanya mampu menahan sakit. Perbuatan suspek pertama disaksikan suspek kedua.

Pada 12 tengah malam pada hari yang sama, giliran suspek kedua menunjukkan belang. Suspek kedua mengikat leher mangsa menggunakan necktie sehingga manga tercekik. Mangsa yang tidak dapat menahan sakit, terus menangis dan menjerit. Nasib mangsa agak baik pada malam itu apabila jeritan mangsa didengar pegawai tentera berpangkat mejar yang terus mengarahkan suspek kedua memohon maaf.

Detik hitam mangsa tidak berakhir di situ. Mangsa dibuli kali kedua pada 11 Sept 1991 tepat jam 11.30 malam. Mangsa diarahkan melakukan push-up dan ketika merebahkan badan di atas lantai, suspek pertama dengan selamba menendang telinga mangsa. Mangsa yang ketika itu merebahkan badan untuk melakukan push-up, bertindak melarikan diri disebabkan berasa terlalu sakit. Bayangkan kesakitan yang dialami mangsa ketika itu yang berlari sepantas kilat meminta tolong.

Suspek pertama kemudian terus mengejar mangsa sehingga mangsa dijumpai terbaring terkulai di depan bilik VIP di dalam kem tentera. Mangsa yang kesakitan menjerit sekuat hati meminta tolong dengan harapan ada yang menolong mangsa. Jeritan mangsa didengari seorang VIP yang kebetulan melakukan lawatan di kem tentera tersebut. VIP tersebut merupakan seorang pegawai atasan dari Kementerian Pertahanan Malaysia berpangkat leftenan kolonel.

Melihat mangsa yang rebah kesakitan, pegawai tersebut terus berkata 'don't tell me! I know what is going on' di depan suspek pertama yang berada di depannya. Suspek pertama kemudian dibicara di mahkamah tentera atas tuduhan melakukan kekasaran ke atas mangsa. Namun, suspek berjaya dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah tentera.

Mangsa yang tidak berpuas hati mengambil keputusan untuk berhenti dari menyambung perkhidmatan sebagai anggota tentera pada 2 Nov 1993, iaitu hanya 3 tahun 2 bulan selepas melapor diri. Peristiwa buli itu menjadi detik hitam bagi mangsa dan mangsa kemudian melantik mendiang Karpal Singh sebagai peguam untuk mewakili mangsa dalam tindakan sivil di mahkamah tinggi kuala lumpur.

Berdasarkan bukti perubatan, mangsa telah disahkan mengalami 'loss of hearing on his right ear and mild deafness to his left ear'. Peguam bagi kedua-dua suspek cuba menafikan kecederaan dialami mangsa adalah kesan buli tetapi hakim menolak hujahan tersebut berdasarkan bukti perubatan yang diperoleh.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, suspek pertama dan kedua diarahkan membayar mangsa ganti rugi berjumlah RM68,000 kepada mangsa. Disebabkan menjadi mangsa buli, masa depan mangsa kini gelap dan harapan mangsa untuk berbakti pada tanah air terkubur.
Hakim Mahkamah tinggi kuala lumpur mengarahkan mangsa dibayar ganti rugi berjumlah RM68,000 disebabkan kehilangan pendengaran yang disebabkan oleh perbuatan membuli yang dilakukan suspek pertama dan kedua.

Penghakiman penuh kes ini boleh dirujuk dalam kes Roshairee Abdul Wahab v Mejar Mustafa & Ors [1996] 3 MLJ 337 - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sumber : @kamarul14 (twitter)

 
biz.