Sunday, May 3, 2020

PEMANDU GRAB LARIKAN, TUMBUK DAN CEKIK PENUMPANG


Dalam keadaan cemas,mangsa menyuruh suspek berhentikan kereta. Namun, suspek bertindak balas dengan menumbuk kepala mangsa. Apa yang berlaku pada mangsa?

Kes tragis ini berlaku pada September 2017 apabila seorang pelajar perempuan telah dilarikan suspek, pemandu 'Grab Car' dari Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Taman Maluri. Mangsa ingin pulang ke asramanya di Jalan Badak dan tanpa disangka langkah mangsa menaiki grab telah membawa satu episod hitam kepada dirinya.

Setelah menyedari destinasi yang dituju bukan pada tempat yang betul, mangsa terus bertanya pada suspek. Tetapi malangnya suspek terus memandu keretanya tanpa mempedulikan mangsa. Suspek kemudian memberhentikan keretanya di satu kawasan hutan simpan. Suspek bertindak menyerang mangsa. Mangsa meronta-ronta meminta tolong di tempat duduk penumpang di bahagian belakang kereta.

Tanpa disangka, suspek menumbuk dahi dan kepala mangsa. Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudian dicekik. Suspek mengugut bunuh mangsa sekiranya mangsa cuba melawan. Mangsa mula ketakutan dan suspek semakin beranikan diri. Mangsa terpaksa ikut apa sahaja arahan daripada suspek. Suspek kemudian bertindak memegang paha dan dada mangsa.

Suspek mengajak mangsa pergi ke hotel. Mangsa cadangkan suspek agar membawanya ke hotel di Kuala Lumpur. Suspek bersetuju. Mangsa kemudian dibawa suspek menuju ke Hotel Manis di Setapak Kuala Lumpur. Setelah suspek berhentikan keretanya, mangsa mengambil peluang untuk larikan diri. Mangsa lari ke bengkel berdekatan untuk meminta pertolongan. Suspek mula cemas. Menyedari mangsa sudah tiada, suspek pun melarikan diri.

Suspek kemudiannya berjaya ditangkap dan didakwa atas kesalahan mencederakan mangsa di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan. Suspek juga didakwa atas kesalahan mencabul kehormatan mangsa di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan dan juga kesalahan ugutan bunuh kepada mangsa di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kes kemudian dibawa di Mahkamah Majistret di Selangor dan setelah ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan suspek, suspek kemudian mengaku bersalah. Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon pada mahkamah agar mangsa dipanggil masuk untuk memberikan keterangan. Keterangan mangsa iaitu 'Victim Impact Statement' adalah penting bagi mempengaruhi hukuman yang akan dikenakan pada suspek (seksyen 183A Kanun Prosedur Jenayah).

Dalam keterangannya, mangsa menyatakan akibat daripada insiden tersebut, dia berasa trauma, sedih, malu dan emosinya terganggu. Kehidupannya sebagai seorang pelajar juga telah terjejas. Pihak pendakwa raya memohon satu hukuman berat dikenakan kepada suspek dengan mengambil kira nasib yang menimpa mangsa serta kepentingan awam bagi mencegah jenayah yang sama berulang.

Majistret Haslinda kemudian memutuskan suspek bersalah dan dihukum penjara 12 bulan untuk kesalahan cederakan mangsa, penjara 14 bulan atas kesalahan cabul mangsa dan penjara 15 bulan atas kesalahan ugutan bunuh kepada mangsa. Kesemua hukuman penjara tersebut dijalankan secara berturut-turut ('consecutively, not concurrently').

Where there are two or more distinct offences had been committed, sentences of imprisonment should not be made to run concurrently' (kes Mahkamah Rayuan Iwan Bujang Dara v PP).

Penghakiman penuh kes ini boleh dirujuk dalam kes Pendakwa Raya lwn Muhammad Izuwan [2018] MLJU 1565 - Mahkamah Majistret (Selangor)


Sumber : @kamarul14 (twitter)

Eppy Sensei

Penulis & Editor

Sekadar berkongsi. Selamat membaca dan terima kasih kerana telah sudi singgah.

0 comments:

Post a Comment

 
biz.