Tuesday, May 5, 2020

"KALAU YOU MASUK, SAYA AKAN BUNUH INI ORANG!"


Pada hampir jam 7 pagi pada 23 Februari 2005, suasana tenang di sebuah hotel di ibu negara kemudian bertukar kecoh. Seorang tetamu hotel ternampak tompokan air merah pekat di atas lantai di luar bilik hotel. Tetamu hotel tersebut berasa tidak sedap hati. 

Hal ini kerana tompokan merah itu adalah darah manusia. Pintu bilik kemudian diketuk dari luar. Mungkin ada sesuatu yang berlaku di dalam bilik tersebut. Kerana ingin tahu kenapa ada tompokan darah, pintu bilik tersebut cuba dibuka namun gagal. Kemudian, ada suara kedengaran dari dalam bilik. Penghuni bilik itu arahkan tetamu di luar bilik supaya beredar dan jangan ganggu dia. Curiga ada sesuatu yang buruk berlaku, kejadian ini terus dimaklumkan kepada pengurus hotel. Dengan pantas, pengurus hotel tiba.

Beliau kemudian menjerit dan arahkan penghuni bilik no 3022 tersebut supaya membuka pintu bilik. Penghuni bilik itu menjawab dari dalam bilik 'jika kamu buka pintu, ada seseorang akan pukul saya'. 'Lebih baik kamu panggil polis'. Dengan segera, polis dipanggil. 

Ketika polis tiba, polis arahkan penghuni bilik tersebut membuka pintu sebelum pintu bilik dirempuh masuk. Polis kemudian terdengar 'kalau you masuk, saya akan bunuh ini orang, lu balik, jangan kacau saya'. Polis kemudian bertindak pecahkan pintu bilik tersebut. Pintu tersebut tidak dapat dibuka sepenuhnya kerana dihadang dengan katil dan rak tv. Melalui celahan pintu bilik yang terbuka, polis dapat melihat keadaan bilik yang agak bersepah. Yang lebih mengejutkan ialah kelihatan seorang lelaki berbogel.

Lelaki tersebut sedang memegang 'VCD player' di sebelah tangannya. Sebelah lagi memegang rambut seorang perempuan (mangsa). Tangan dan kaki mangsa tersebut telah diikat. Mangsa kemudian diheret ke dalam tandas. Polis ketika ini masih tidak dapat masuk ke dalam bilik. Suspek yang mengheret mangsa ke tandas kemudian berdiri di atas mangkuk jamban. Sambil memegang botol kaca yang pecah, suspek menjerit 'saya bunuh dia orang, saya bunuh dia orang'. Polis kemudian terus merempuh masuk dan menangkap suspek.

Pakar patologi mengesahkan mangsa mati disebabkan kecederaan teruk di muka dan leher mangsa. Ahli kimia mengesahkan darah suspek mengandungi amphetamine dan methamphetamine dan memaklumkan 'seseorang di bawah pengaruh dadah jenis psycostimulant boleh pngaruhi fikiran kita'. Suspek kemudian didakwa di Mahkamah Tinggi KL atas tuduhan membunuh mangsa. Hakim Mahkamah Tinggi menolak kesemua hujahan peguam bela suspek. Walaupun suspek positif dadah, suspek tidak berada dalam keadaan mabuk dan masih sedar dengan apa yang telah dilakukannya.

Hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada suspek di bawah s 302 KK. Suspek bersalah membunuh mangsa. Keputusan hakim mahkamah tinggi ini kemudian disahkan oleh panel hakim Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan juga memutuskan suspek bersalah kerana membunuh mangsa. Kes ini kemudian naik ke mahkamah paling tinggi, Mahkamah Persekutuan. Peguam bela suspek membuat rayuan di hadapan panel hakim tertinggi negara. Kes didengar 5 hakim diketuai Ketua Hakim Malaya ketika itu, Zulkefli CJ. Panel hakim juga terdiri daripada YAA Richard Malanjum, Hashim Yusoff, Abdul Hamid Embong dan Sulong Matjeraie. Peguam bela berhujah suspek sebenarnya tidak berniat membunuh mangsa dan tidak patut dihukum gantung sampai mati.

Dalam hujahan tersebut, 'the injuries inflicted on the deceased were not sufficient in the ordinary course of nature to cause death'. Ini kerana laporan pakar patologi mengesahkan kecederaan teruk di bahagian muka dan leher mangsa adalah kerana suspek berulang kali memukulnya. Secara semula jadinya, kecederaan tersebut tidak akan boleh membawa maut. Dengan itu, suspek seharusnya didakwa di bawah s 299 KK (menyebabkan kematian bukan kerana membunuh) dan bukannya di bawah s 300 KK (membunuh).

Sekiranya didakwa di bawah S 299, suspek didapati bersalah kerana 'with the knowledge that he is likely by such act to cause death'. Perbuatan suspek kemungkinan berlakunya kematian kepada mangsa adalah rendah. Ianya bukan dianggap membunuh mangsa dengan niat (Raja Azlan Shah J). 

Panel hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa 'no evidence led by the pathologist as to whether the injuries inflicted on the deceased were sufficient in the ordinary course of nature to cause death. Kecederaan pada muka dan leher mangsa tidak dianggap boleh membawa maut secara semulajadi kepada mangsa. Jadi, suspek tidak boleh didakwa atas kesalahan membunuh mangsa di bawah s300 KK dan tidak patut digantung sampai mati.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan suspek bersalah di bawah S299 KK dan dihukum di bawah s304(a) KK yang membawa hukuman penjara 20 tahun. Suspek terlepas hukuman gantung sampai mati. Hakim menambah, kecederaan teruk yang dialami mangsa tidak boleh sebulat-bulatnya dijadikan asas untuk buktikan adanya niat untuk membunuh. Mangsa merupakan kekasih suspek dikatakan mempunyai hubungan dengan orang lain. Peguam bela suspek berhujah, tindakan suspek membunuh mangsa adalah disebabkan provokasi dari mangsa yang menyebabkan hubungan cinta mereka musnah. Tetapi, hakim Mahkamah Tinggi menolak hujahan ini.

Penghakiman penuh boleh dirujuk dalam kes Cheong Kam Kuen v Public Prosecutor [2013] 1 MLJ 15 (Mahkamah Persekutuan, Putrajaya).

Sumber : @kamarul14 (twitter)

Eppy Sensei

Penulis & Editor

Sekadar berkongsi. Selamat membaca dan terima kasih kerana telah sudi singgah.

0 comments:

Post a Comment

 
biz.