Saturday, May 2, 2020

"DON'T TELL ME! I KNOW WHAT IS GOING ON!"


Mangsa merupakan fresh graduate Royal Military College (RMC) melapor diri sebagai leftenan di sebuah kem tentera di sabah dan semasa program orientasi, mangsa dikatakan dipukul oleh 2 orang pegawai tentera yang merupakan senior di situ.

Kejadian pertama pada 8 September 1991,di mana mangsa dengan hanya berdiri sebelah kaki, diarahkan suspek pertama untuk mengangkat tong gas dengan kedua-dua belah tangan. Mangsa dipaksa bertahan untuk beberapa minit. Disebabkan tidak mampu bertahan, mangsa ditumbuk berkali-kali pada bahagian muka dan telinga. Mangsa hanya mampu menahan sakit. Perbuatan suspek pertama disaksikan suspek kedua.

Pada 12 tengah malam pada hari yang sama, giliran suspek kedua menunjukkan belang. Suspek kedua mengikat leher mangsa menggunakan necktie sehingga manga tercekik. Mangsa yang tidak dapat menahan sakit, terus menangis dan menjerit. Nasib mangsa agak baik pada malam itu apabila jeritan mangsa didengar pegawai tentera berpangkat mejar yang terus mengarahkan suspek kedua memohon maaf.

Detik hitam mangsa tidak berakhir di situ. Mangsa dibuli kali kedua pada 11 Sept 1991 tepat jam 11.30 malam. Mangsa diarahkan melakukan push-up dan ketika merebahkan badan di atas lantai, suspek pertama dengan selamba menendang telinga mangsa. Mangsa yang ketika itu merebahkan badan untuk melakukan push-up, bertindak melarikan diri disebabkan berasa terlalu sakit. Bayangkan kesakitan yang dialami mangsa ketika itu yang berlari sepantas kilat meminta tolong.

Suspek pertama kemudian terus mengejar mangsa sehingga mangsa dijumpai terbaring terkulai di depan bilik VIP di dalam kem tentera. Mangsa yang kesakitan menjerit sekuat hati meminta tolong dengan harapan ada yang menolong mangsa. Jeritan mangsa didengari seorang VIP yang kebetulan melakukan lawatan di kem tentera tersebut. VIP tersebut merupakan seorang pegawai atasan dari Kementerian Pertahanan Malaysia berpangkat leftenan kolonel.

Melihat mangsa yang rebah kesakitan, pegawai tersebut terus berkata 'don't tell me! I know what is going on' di depan suspek pertama yang berada di depannya. Suspek pertama kemudian dibicara di mahkamah tentera atas tuduhan melakukan kekasaran ke atas mangsa. Namun, suspek berjaya dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah tentera.

Mangsa yang tidak berpuas hati mengambil keputusan untuk berhenti dari menyambung perkhidmatan sebagai anggota tentera pada 2 Nov 1993, iaitu hanya 3 tahun 2 bulan selepas melapor diri. Peristiwa buli itu menjadi detik hitam bagi mangsa dan mangsa kemudian melantik mendiang Karpal Singh sebagai peguam untuk mewakili mangsa dalam tindakan sivil di mahkamah tinggi kuala lumpur.

Berdasarkan bukti perubatan, mangsa telah disahkan mengalami 'loss of hearing on his right ear and mild deafness to his left ear'. Peguam bagi kedua-dua suspek cuba menafikan kecederaan dialami mangsa adalah kesan buli tetapi hakim menolak hujahan tersebut berdasarkan bukti perubatan yang diperoleh.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, suspek pertama dan kedua diarahkan membayar mangsa ganti rugi berjumlah RM68,000 kepada mangsa. Disebabkan menjadi mangsa buli, masa depan mangsa kini gelap dan harapan mangsa untuk berbakti pada tanah air terkubur.
Hakim Mahkamah tinggi kuala lumpur mengarahkan mangsa dibayar ganti rugi berjumlah RM68,000 disebabkan kehilangan pendengaran yang disebabkan oleh perbuatan membuli yang dilakukan suspek pertama dan kedua.

Penghakiman penuh kes ini boleh dirujuk dalam kes Roshairee Abdul Wahab v Mejar Mustafa & Ors [1996] 3 MLJ 337 - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sumber : @kamarul14 (twitter)

Eppy Sensei

Penulis & Editor

Sekadar berkongsi. Selamat membaca dan terima kasih kerana telah sudi singgah.

0 comments:

Post a Comment

 
biz.