Tepat jam 7 malam 22 mei 2016, balai polis Taman Pelangi dan Pusat Kawalan IPD Johor Bahru Selatan telah menerima satu panggilan yang tidak dijangka oleh orang awam.
Polis dimaklumkan ada satu rompakan berlaku di restoran KFC Jalan Sasa 6, Taman Gaya, Johor Bahru. Suspek mungkin mati kutu sehinggakan memilih KFC untuk dirompak. Pada kejadian tersebut, suspek masuk ke dalam restoran KFC bukan untuk menjamu selera dan melayan keenakan ayam goreng spicy, tetapi terus ke kaunter sambil mengacukan pistol ke arah pekerja KFC.
Pekerja KFC tersebut yang biasanya lali dengan keenakan ayam goreng spicy akhirnya tergamam tanpa seribu kata apabila suspek membaling sebuah beg ke arahnya. Suspek mengarahkan mangsa untuk masukkan duit ke dalam beg tersebut. Pekerja KFC tersebut yang terkesima terus melarikan diri ke arah pintu belakang restoran bersama pekerja-pekerja lain.
Melihat keadaan tersebut, suspek bertindak keluar melarikan diri dengan menaiki motosikal dan sempat dikejar oleh seorang lelaki Cina. Lelaki Cina tersebut mengambil satu kerusi plastik dan satu balingan kerusi plastik dibuat oleh lelaki Cina tersebut tepat mengenai badan suspek. Suspek geram dan marah. Suspek bertindak mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak lelaki Cina tersebut lalu mengenai paha kiri. Mangsa menjerit kesakitan.
Pekerja KFC terus menghubungi pihak polis dan memaklumkan kejadian rompakan ini setelah melihat suspek berjaya melarikan diri. 2 hari selepas kejadian, polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Kg Ulu Tiram, Johor Bahru. Suspek cuba menyerang dan melawan polis ketika tangkapan dibuat.
Usaha suspek sia-sia dan suspek berjaya diberkas polis. Suspek memiliki sepucuk pistol jenis revolver 38 Smith & Welson bersama 6 butir peluru yang diselit pada bahagian kiri pinggang. Tidak cukup satu, suspek juga memiliki sepucuk pistol berwarna silver home made bersama sebutir peluru 12 bore di dalam laras yang diselit pada bahagian kanan pinggang. Senjata api yang dirampas diuji di makmal forensik PDRM untuk pengesahan dan laporan balistik menunjukkan sepucuk pistol milik suspek berfungsi baik ketika uji tembak dijalankan.
Seksyen 4 Akta Senjata Api menyatakan suspek boleh dipenjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 6 kali sekiranya melakukan rompakan menggunakan senjata api sehingga mendatangkan ketakutan. mati atau kecederaan kepada mangsa iaitu pekerja KFC dikenali Mahfuzah dan Farah.
Suspek yang tidak diwakili peguam bela telah mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan dan hakim mahkmah sesyen jenayah Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup mulai dari tarikh tangkap bersama-sama 6 kali sebatan. Keputusan hakim mahkamah sesyen disahkan oleh hakim mahkamah tinggi Johor Bahru pada Februari 2019 yang mengesahkan hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan pada suspek.
Suspek cuba merayu kerana suspek tidak menyangka akan dikenakan hukuman seberat itu disebabkan tiada peguam bela mewakili suspek ketika perbicaraan. Tetapi, rayuan suspek ditolak hakim mahkamah tinggi. Hukuman penjara seumur hidup membawa maksud 30 tahun penjara mengikut Akta Keadilan Jenayah (keputusan mahkamah rayuan pada April 2019 dalam kes Nur Azri).
Siapa sangka, dengan tindakan merompak restoran KFC, suspek Mohd Hazmie terpaksa meringkuk di dalam penjara. Kesedapan rasa ayam goreng KFC pasti dirindui suspek ketika berada di dalam penjara. Berbeza dengan hukuman penjara sepanjang hayat, hukuman penjara seumur hidup adalah hukuman penjara untuk tempoh 30 tahun.
Penghakiman penuh kes ini boleh dirujuk dalam kes Mohd Hazmie Nazryn lwn Pendakwa Raya [2019] MLJU 323 -Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Sumber : @kamarul14 (twitter)

0 comments:
Post a Comment