Saturday, May 2, 2020

TRAGEDI BILIK 101


Kakak mangsa terdengar bunyi jeritan adiknya dari dalam bilik no 101 tetapi bilik dikunci dari dalam. Pintu bilik cuba dibuka tetapi dikunci dari dalam. Apabila pintu bilik dapat dibuka, adiknya sudah mati terbaring atas katil.

Kejadian menyayat hati berlaku dalam bilik bernombor 101, blok A, Kolej Meranti UiTM Shah Alam di mana suspek didakwa atas tuduhan membunuh mangsa. Ketika pintu bilik dibuka, kakak mangsa dapat melihat suspek yang merupakan teman lelaki adiknya berada di sebelah mayat adiknya. Kakak mangsa kebingungan melihat keadaan suspek yang hanya membisu tanpa sepatah kata.

Sebilah pisau rambo bersama-sama sarungnya ditemui di dalam bilik tersebut. Adakah pisau tersebut digunakan untuk menikam mangsa sampai mati? Suspek mengatakan ada seseorang cuba menyerang mangsa dan suspek cuba selamatkan mangsa daripada ditikam. Adakah suspek berkata benar? Siapakah seseorang yang dimaksudkan itu?

Kakak mangsa memberitahu mahkamah bahawa ketika pintu bilik dibuka, hanya ada dua orang di dalam bilik tersebut, adiknya yang sudah mati dan suspek. Tiada pula kelibat orang ketiga dalam bilik tersebut. Adakah suspek cuba mereka-reka cerita?

Bukti DNA diperlukan dan hasilnya mendapati DNA mangsa dan suspek ada pada pisau rambo yang dijumpai dalam bilik tersebut. Bukti pakar forensik mendapati mangsa mati akibat tikaman berkali ganda (multiple stab wounds) menggunakan pisau rambo sebanyak 25 kali. Daripada 25 tikaman, 15 kali tikaman adalah tikaman membawa maut.

5 kali tikaman sedalam lebih 10 cm dan 10 lagi tikaman sedalam antara 5 hingga 9 cm. Adakah suspek masih lagi cuba menafikan tikaman ini adalah berniat untuk membunuh mangsa? Suspek berulang kali menegaskan bahawa suspek dibunuh oleh orang ketiga. Tetapi, ketika perbicaraan tiada bukti yang menyakinkan bahawa adanya orang ketiga yang menikam mangsa.

Pada oktober 2006, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh dan dihukum gantung sampai mati. Suspek membuat rayuan atas sabitan dan hukuman gantung tersebut di mahkamah rayuan pada Februari 2009 dan di mahkamah persekutuan pada september 2009 namun ditolak oleh panel hakim.

Panel hakim mahkamah persekutuan diketuai Richard Malanjum, Gopal Sri Ram dan Hashim Yusoff telah menolak keraguan yang cuba ditimbulkan suspek mengenai kelibat orang ketiga semasa mangsa ditikam. Pintu bilik dikunci dari dalam dan tiada apa-apa keterangan daripada suspek yang boleh membuktikan adanya orang ketiga dalam dalam pembunuhan yang dilakukan. Sekiranya ada, siapakah orang tersebut?

Tiada sebarang kemungkinan adanya penglibatan orang ketiga yang menikam mangsa sampai mati dan tikaman berkali ganda adalah bukti yang mencukupi untuk menunjukkan adanya niat untuk membunuh. Bukti pakar forensik jelas menunjukkan banyak kesan luka mangsa ditikam, terutama pada bahagian dada dan paru-paru kanan mangsa.

Mahkamah juga menjumpai motif pembunuhan berlaku setelah menjumpai satu kalendar tertulis tarikh yang ditanda 'dateline' bagi mangsa dan suspek untuk menentukan hala tuju hubungan mereka. Tarikh itu bersamaan dengan tarikh pembunuhan iaitu 9 0gos 2002. Rayuan suspek untuk menafikan adanya kelibat orang ketiga ditolak panel hakim dan hukuman gantung sampai mati kepada suspek dikekalkan oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan.

Penghakiman penuh kes ini boleh dirujuk dalam kes Shamim Reza vs Public Prosecutor [2011] 1 MLJ 471 - Mahkamah Persekutuan Putrajaya.


Hasil bedah siasat pakar forensik pada tubuh badan mangsa


Sumber : @kamarul14 (twitter)

Eppy Sensei

Penulis & Editor

Sekadar berkongsi. Selamat membaca dan terima kasih kerana telah sudi singgah.

0 comments:

Post a Comment

 
biz.