![]() |
| Gambar Hiasan |
Suasana tenang di pagi hari berubah apabila sesuatu yang aneh berlaku. Satu beg berisi dua biji limau bali diletakkan di luar lif sebuah apartmen. Ingatkan hadiah daripada seseorang, tetapi limau bali itu tiba-tiba meletup. Apa yang terjadi?
Jam 8 pagi, mangsa keluar dari rumahnya di Aparment Desa Tun Razak, Cheras dan menuju ke lif. Sebelum masuk ke dalam lif, mangsa nampak satu beg ditinggalkan di koridor. Mangsa kemudian membuka beg tersebut dan melihat 2 biji limau bali ada di dalam beg. Inginkan kepastian siapa yang memberi limau itu, mangsa kemudian mencari sesuatu di dalam beg itu. Malangnya, limau bali kemudian meletup dengan kuat dan menyebabkan mangsa terbakar. Mangsa meraung kesakitan. Seorang saksi melihat mangsa berada dalam kesakitan akibat terbakar dan letupan itu menyebakan mangsa meninggal dunia.
Siasatan menunjukkan limau bali tersebut telah diubahsuai menjadi bom. 2 paket bungkusan mercun bola digunakan untuk meletupkan limau bali tersebut. Persoalannya, siapa yang sanggup melakukan tindakan sebegitu hingga mangsa mati? Rakaman cctv digunapakai bagi menjejaki suspek. Video rakaman jelas menunjukkan pengerakan suspek membawa beg berwarna biru memasuki lif dan naik ke tingkat 12 apartmen. Ketika suspek turun dari lif yang sama, beg tersebut tiada bersamanya. Beg itu ditinggalkan di koridor.
Sehari selepas kejadian, suspek berjumpa dengan kawannya untuk menumpang tidur di pejabat kawannya itu. Suspek dikatakan sedang mempunyai masalah dengan isterinya. Disebabkan tiada bekalan air, suspek tinggal di rumah kawannya yang lain. Semasa bertemu dengan kedua-dua kawannya itu, suspek mengakui dia sudah melakukan sesuatu kepada mangsa. Suspek mengaku dia bertanggungjawab membuat bom untuk membalas dendam.
Suspek geram dengan mangsa kerana suspek kalah judi. Akibat kalah judi, dia mengalami kerugian yang terlalu besar. Suspek cuba meminta pertolongan mangsa untuk memberi pinjaman sebanyak RM20 ribu. Tetapi, mangsa enggan memberikan duit tersebut. Suspek bertambah geram. Suspek kemudian diburu polis dan akhirnya ditangkap hampir sebulan selepas insiden letupan bom limau bali itu. Polis dapat mengesan sebuah kereta di parkir Hospital Sg Buloh dan menjumpai satu bungkusan plastik mengandungi kabel berwarna putih. Kabel ini disyaki digunakan suspek untuk membuat bom sendiri. Polis kemudian membuat serbuan di rumah suspek. Satu bilah gergaji kecil, beberapa kotak mancis dan penutup elektrik dijumpai.
Suspek kemudian didakwa di Mahkamah Tinggi KL atas kesalahan membunuh mangsa. Hakim telah memutuskan suspek bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung smpai mati. Peguam bela suspek kemudian membuat rayuan sabitan dan hukuman yang dikenakan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Peguam bela mengatakan suspek sebenarnya tidak berniat untuk membunuh mangsa.
Suspek hanya bersalah menyebakan mangsa mati. Tindakan suspek menggunakan bahan letupan tidak disangka mampu menyebabkan mangsa mati. Laporan pakar patologi juga tidak menunjukkan mangsa akan meninggal dunia sekiranya bom buatan sendiri itu meletup. Hujahan peguam bela ditolak panel hakim Mahkamah Rayuan. Walaupun laporan pakar patologi tidak menunjukkan mangsa akan mati setelah terkena letupan bom tersebut, bukti-bukti keadaan (circumstantial evidence) berjaya mengaitkan suspek dengan niat membunuh.
Suspek sudah mengaku pada kawannya dia yang membuat bom limau bali tersebut untuk mambalas dendam. Jadi, suspek mempunyai motif membunuh mangsa. Panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Hamid Sultan, Tengku Maimun dan Mah Weng Kwai pada Mei 2014 memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh mangsa di bawah s 300 KK dan dihukum gantung sampai mati.
Sumber : @kamarul14 (twitter)

0 comments:
Post a Comment